‘Ditendang keluar’ tanpa berpeluang bela diri - Utusan Malaysia

‘Ditendang keluar’ tanpa berpeluang bela diri

NIKITA MAZEPIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Nikita Mazepin mendakwa, pasukan Formula Satu (F1) Haas ‘langsung tidak menghiraukan’ permintaannya, malah ‘tidak mengikut proses’ ketika menamatkan kontraknya sebagai pemandu pasukan bagi musim 2022.

Status Mazepin dan penaja Haas, Uralkali yang dimiliki bapa Nikita, Dmitry sudah dipersoalkan sejak Rusia ­menyerang Ukraine.

Kelmarin, Haas mengumumkan mereka telah menamatkan kontrak Mazepin dan Uralkali, biarpun F1 memberi kebenaran kepada pemandu itu untuk terus berlumba di bawah bendera neutral.

Dalam kenyataan di media sosial, pemandu berusia 23 tahun itu mendakwa telah dilayan secara tidak adil.

“Saya sangat kecewa mendengar kontrak F1 saya telah ditamatkan.

“Walaupun saya memahami kesukaran, namun keputusan FIA (badan automobil dunia) serta kesediaan saya mene­rima syarat yang dicadangkan bagi meneruskan cabaran te­lah diabaikan sama sekali.

“Tiada proses ketika tindakan dibuat,” katanya.

Selain tidak membenarkan Mazepin beraksi di bawah bendera Rusia, dia juga diminta menandatangani beberapa perjanjian mengenai kelakuannya berhubung konflik Rusia-Ukraine.

Mazepin sudah bersetuju untuk mematuhi semua syarat yang ditetapkan bagi membolehkannya terus bersaing dalam F1, malangnya perkara itu tetap tidak meyakinkan Haas, syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

Bekas pemandu F1 Rusia, Daniil Kvyat sebelum ini menggesa FIA agar tidak menghalang pelumba negaranya bersaing kerana sukan boleh menjadi kuasa penyatuan.

Haas membuang jenama Uralkali daripada kereta mereka pada sesi ujian F1 pertama 2022.

Bapa Mazepin, yang merupakan ahli perniagaan berjaya di Rusia antara 37 tokoh korporat yang dipanggil oleh Presiden Vladimir Putin dalam mesyuarat di Kremlin pada hari pertama pencerobohan ke atas Ukraine.

F1 sebelum ini turut membatalkan Grand Prix Rusia 2022 dan tidak bercadang untuk membawa perlumbaan ke negara itu pada masa akan datang. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya