fbpx

Tersingkir dari Kejohanan AFF B-23, ini salah FAM, MFL – Teong Kim

PETALING JAYA: Belum reda kekecewaan peminat bola sepak Malaysia dengan penyingkiran awal Harimau Malaya dalam Piala AFF, Disember lalu, kini ‘skuad adik’ pula menambah luka apabila tersingkir awal pada Kejohanan AFF Bawah 23 (B-23) di Kemboja.

Kekalahan 0-2 kepada Laos malam tadi bermakna perjalanan anak-anak buah Brad Maloney berakhir di peringkat kumpulan, keputusan yang mendorong peminat menghambur pelbagai cacian terhadap pasukan.

Taktikal pengendali dari Australia itu dikritik, pemain pula dilihat tidak kreatif dengan hanya melakukan tolakan ke depan ke belakang, malah Malaysia sebenarnya bernasib baik tidak dibolosi lebih banyak.

Begitupun bekas pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Lim Teong Kim menegaskan, adalah tidak adil kesalahan diletakkan di bahu pemain atau jurulatih, sebaliknya ‘menghentam’ Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) kerana tidak memberi platform terbaik kepada pemain muda untuk membangun.

STATUS Lim Teong Kim dalam Instagram.

“Saya sudah banyak kali berkata bahawa jikalau FAM atau MFL tidak membuat tanggungjawab mereka untuk mengadakan liga-liga remaja untuk pemain-pemain remaja Malaysia… jangan harap bahawa bola sepak Malaysia akan maju.

“Pembangunan seseorang pemain mesti melalui proses pembangunan muda yang bersistematik dan ini tidak ada di Malaysia.

“Tetapi, situasi bola sepak kita tidak memberi pemain-pemain remaja maju. Kita tidak boleh menyalahkan mereka. Yang salah adalah FAM dan MFL. Mereka yang seharusnya menyedia dan melengkapkan landasan untuk pembangunan bola sepak Malaysia.

“Perubahan itu adalah seperti liga-liga remaja, tiga sahaja pemain import untuk Liga Super dan Perdana , manakala pasukan kedua Liga Super tidak boleh ada ‘foreign players’ (import) yang bermain dalam Liga Perdana,” tulisnya di Instagram.

AKSI Malaysia ketika menentang Laos malam tadi.

Teong Kim, 59, yang pernah melatih skuad bawah 19 tahun (B-19) Bayern Munich di Jerman menegaskan, pemain-pemain yang diturunkan ketika menentang Laos tidak boleh dipersalahkan.

Peluang Malaysia untuk melangkah ke separuh akhir Kejohanan AFF B-23 pada awalnya dilihat cerah ekoran penarikan diri dua pencabarnya dalam Kumpulan B, iaitu juara bertahan, Indonesia dan Myanmar yang ‘diserang’ Covid-19.

Begitupun apa yang berlaku, skuad muda negara tewas 1-2 pada perlawanan pertama, Jumaat lalu sebelum kalah sekali lagi 0-2 malam tadi, sekali gus tersingkir secara agregat 1-4.

Corak permainan yang serba tidak menjadi, dari larian, kemahiran menahan bola, kegagalan membuat keputusan tepat sehinggalah sikap di dalam padang antara kelemahan ketara anak-anak nuah Maloney.

Bertambah malang buat Malaysia, hanya 16 pemain dapat digunakan dalam perlawanan menentang Laos kerana Covid-19.  – UTUSAN ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!