Melaka United sasar tiga terbaik liga, satu trofi musim 2022 - Utusan Malaysia

Melaka United sasar tiga terbaik liga, satu trofi musim 2022

MOHD. Ali Rustam (empat, kiri) bersama barisan pemain Melaka United yang muncul juara Piala TYT 2022 selepas menewaskan Selangor FC 4-3 menerusi sepakan penalti di Stadium Hang Jebat, Melaka kelmarin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Melaka United (MU) meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok tiga pasukan terbaik Liga Super, selain mahu sekurang-kurangnya satu piala berada dalam genggaman musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Justin Lim berkata, sasaran tersebut dilihat realistik selepas membawa jurulatih berpengalaman dari Bosnia Herzegovina, Risto Vidakovic serta kehadiran 16 pemain baharu termasuk penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha.

“Saya jangka kita boleh menang setidak-tidaknya satu piala dan saya mahu pemain melakukan sesuatu untuk MU berada dalam kelompok tiga pasukan dalam carta Liga Super.

“Itu adalah petunjuk prestasi utama (KPI) yang saya letakkan kepada barisan pemain serta jurulatih bagi mengharungi saingan musim ini,” katanya dalam sidang akhbar di Stadium Hang Jebat di sini, semalam.

MOHD. Ali Rustam (empat, kiri) bersama barisan pemain Melaka United yang muncul juara Piala TYT 2022 selepas menewaskan Selangor FC 4-3 menerusi sepakan penalti di Stadium Hang Jebat, Melaka kelmarin – UTUSAN/AMRAN MULUP

Beliau sebelum itu mengiringi Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam melancarkan jersi baharu MU serta memperkenalkan 27 pemain bagi menghadapi kempen Liga Super musim ini.

Jersi keluaran Al-Ikhsan Sport itu berwarna hijau gelap serta digabungkan bersama hijau muda pada bahagian lengan bagi halaman sendiri, manakala untuk tempat lawan ia menggunakan warna merah terang.

Sejurus pelancaran itu, Mohd. Ali turut menyaksikan perlawanan MU menentang Selangor FC bagi merebut Piala TYT 2022 yang dimenangi tuan rumah dengan keputusan 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti, selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3.

Mengulas mengenai KPI yang disasarkan, Vidakovic berkata, masih terlalu awal untuk beliau memberi jaminan barisan pemainnya mampu merealisasikan hasrat tersebut.

“Pemain saya menang Piala TYT tetapi ini bukan menjadi ukuran kerana barisan pemain belum lagi menunjukkan persefahaman yang mantap setakat ini.

“Jadi sasaran menang satu piala dan berada dalam kelompok tiga pasukan terbaik itu saya tidak mahu fikir dulu, biar saya susun barisan pemain sebab minggu depan kempen Liga Super sudah bermula,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN