
KETIKA ini semua orang bercakap tentang bagaimana Sadio Mane mengecewakan rakan baiknya di Liverpool, Mohamed Salah untuk membantu Senegal menjulang Piala Negara-Negara Afrika (Afcon) buat kali pertama.
Di Senegal, penyerang berusia 29 tahun itu diangkat sebagai wira selepas sepakan penalti terakhir yang diambil membantu Senegal menumpaskan Mesir di Cameroon 7 Februari lalu.
Begitupun, Mane tidak hanya disanjung kerana kehebatannya sebagai bintang bola sepak, malah sifat mulia, rendah diri dan pemurah menjadikan dia disayangi.
Beberapa bulan lalu, kisah Mane memakan mangga yang gugur dari pokok menjadi bualan di Senegal.

Ketika pemain kaya sepertinya menikmati percutian mewah, Mane pulang ke kampung di Bambali, melakukan kerja-kerja amal dan membantu orang susah.
Satu hari, selepas merasmikan pembukaan hospital yang dibiayai olehnya, Mane pulang ke rumah ibunya.
“Dia memetik mangga yang gugur ke tanah, mencucinya dan kemudian menggigit buah itu.
“Semua ketawa melihat bintang besar seperti Mane makan mangga yang gugur bersama orang kampung,” tulis sebuah akhbar.
Baru-baru ini, nama Mane ‘naik lagi’ kerana membantu keluarga yang tidak dikenali di sebuah hospital di Bafoussam, Cameroon.

Akibat pelanggaran dengan penjaga gol Cape Verde, Vozinha dalam saingan Afcon, Mane dikejarkan ke hospital kerana mengalami gegaran kepala.
Ketika itu dia bertemu satu keluarga yang tertekan kerana anak mereka terlibat dalam kemalangan dan tidak mampu membayar kos perubatan.
“Keluarga mangsa tertekan kerana anak mereka dilanggar motosikal menyebabkan tulangnya patah. Dia hampir mati dan ibu bapanya tak mampu membayar rawatan.
“Sadio yang berada di hospital menemui keluarga itu dan bertanya apa yang berlaku. Kami menjelaskan situasi kepadanya dan dia memberi mereka duit,” kata seorang tetamu di siaran televisyen Cameroon, Equinoxetv.
Mane membayar FCFA 400,000 (RM2,916) untuk kos rawatan tersebut.

Bapa Mane meninggal dunia ketika pemain itu berusia tujuh tahun selepas sakit selama berminggu-minggu dan tiada duit untuk membeli ubat, selain tiada hospital di kampungnya.
Pengalaman itu mendorong Mane menyumbangkan RM2.88 juta bagi membina hospital di Bambali yang memberi manfaat kepada penduduk dari 34 buah kampung.
“Ayah saya ada sakit beberapa minggu, kami hanya membawanya berubat secara tradisional dan ia hanya meredakan sakitnya dalam tiga atau empat bulan.
“Tidak lama selepas itu, sakit tersebut datang lagi. Kami tiada ubat klinik kerana tiada hospital di Bambali. Ayah saya perlu dibawa ke kampung sebelah untuk diselamatkan.
“Saya masih ingat, adik perempuan saya dilahirkan di rumah kerana tiada hospital di kampung saya. Ia situasi yang sangat menyedihkan,” kata Mane.










