Lawan JDT sangat ‘mudah’ buat KL City - Hodak - Utusan Malaysia

Lawan JDT sangat ‘mudah’ buat KL City – Hodak

BOJAN Hodak (kanan) percaya tekanan lebih dirasai oleh JDT yang turun sebagai juara bertahan, pilihan utama dan tuan rumah berbanding KL City. - IHSAN KL CITY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Bojan Hodak berkata, Kuala Lumpur City (KL City) tenang menjelang perlawanan Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) malam ini kerana tekanan sepatutnya dirasai tuan rumah yang beraksi di Stadium Sultan Ibrahim selaku pilihan utama.

Pengendali KL City itu berkata, sebagai juara bertahan, JDT pasti mahu memastikan Piala Sultan Haji Ahmad Shah tidak terlepas daripada genggaman mereka.

Skuad The City Boys sebaliknya tidak meletakkan harapan tinggi memandangkan aksi pertama Liga Super menentang Selangor FC, 4 Mac ini jauh le­bih penting kerana mempertaruhkan tiga mata pertama buat pasukan.

“Aksi menentang JDT adalah perlawanan yang sangat mudah buat saya, ini kerana saya tidak terlalu memberi tekanan buat pemain setelah tiada yang meletakkan harapan tinggi buat kami.

“Kami tidak merasakan tekanan kerana tiada pungutan mata pada perlawanan esok, situasi itu tentunya berbeza buat JDT yang merasakan tekanan untuk cuba memenangi perlawanan esok.


KAPTEN KL City, Safee Sali (kiri) dan Bojan Hodak dalam sidang akhbar perlawanan Sumbangsih menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri semalam. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

“Selepas kekalahan 0-2 kepada Kami pada aksi final Piala Malaysia, mereka akan melakukan apa sahaja untuk memenangi perlawanan Sumbangsih. Harapnya kita dapat pengadil perlawanan yang baik esok,” katanya pada sidang akhbar pra perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim semalam.

Menjelang pertemuan malam ini, Hodak memberitahu, persiapan pasukan berjalan lancar walaupun ada beberapa pemain termasuk Romel ­Morales tidak cergas sepenuhnya untuk diturunkan.

Katanya, dia tidak akan mengambil risiko sebaliknya mencari jalan untuk menggunakan khidmatnya bagi membantu pasukan meraih kemenangan.

“Kami ambil serius perlawanan esok tapi aksi pembukaan Liga Super menentang Red ­Giants lebih penting,” katanya memberi bayangan akan me­nurunkan muka baharu pada perlawanan malam ini.

Sementara itu, Safee Sali berkata, rakan sepasukan berkobar-kobar untuk mengulangi kejayaan aksi final Piala Malaysia yang lalu bagi menewaskan JDT seterusnya menjulang Piala Sumbangsih bersama KL City. 

Safee menjangkakan pertemuan menentang bekas kelab lamanya itu pastinya menjanjikan aksi menarik selain mahu mendapatkan minit permainan dalam perlawanan itu.

“Kemenangan esok akan menjadi permulaan baik bagi kempen KL City. Harapnya kita dapat ulangi kejayaan menewaskan JDT,” ujarnya. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN