KUALA LUMPUR: Bomba Fighters melakar kemenangan ketiga berturut-turut pada minggu kelima Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022 dengan menumpaskan Perak Bison 2-1 sebentar tadi.
Selepas menumbangkan Penang Black Panthers (Jumaat) dan Johor Tigris semalam, skuad bimbingan Ahmad Mohd. Zin dipaksa berhempas pulas sebelum menewaskan Bison 17-21, 21-11, 21-18.
Kehadiran pemain import dari Thailand, Rusdee Leerem memberi impak besar kepada juara Divisyen 1 itu yang kembali mempamer aksi mantap selepas agak bergelut dalam saingan awal Liga Premier.
Biarpun baru menyertai pasukan, namun Rusdee berjaya menyesuaikan diri dengan cepat bersama rakan-rakan sepasukan, malah membantu mereka mengharungi jadual perlawanan padat.
“Saya hanya mengambil masa empat hari untuk memastikan Rusdee dapat membina keserasian dengan rakan sepasukan.
“Dua hari saya bina kecergasan dan dua hari lagi saya membentuk kembali permainannya agar sesuai dengan corak permainan di Malaysia,” kata Ahmad kepada Utusan Malaysia.
Kemenangan terbaharu itu menyaksikan Bomba kini mengumpul 10 mata dan berjaya keluar dari kelompok bawahan liga. – UTUSAN ONLINE