LONDON: Arsenal bakal berdepan cabaran getir Manchester City hari ini tanpa sebahagian besar barisan kejurulatihan, termasuk pengurus pasukan, Mikel Arteta yang dijangkiti Covid-19 buat kali kedua.
Selain Arteta, pembantunya, Steve Round yang ‘hilang’ ketika The Gunners membelasah Norwich 5-0, Ahad lalu akibat virus berkenaan juga masih tidak dapat menyertai pasukan.
Menurut Telegraph, beberapa lagi barisan kejurulatihan bakal terlepas perlawanan di Stadium Emirates itu ekoran penularan Covid-19.
Pembantu jurulatih, Albert Stuivenberg yang mengambil alih tugas Arteta dalam sesi latihan sejak Rabu lalu akan mengetuai The Gunners untuk berdepan pendahulu liga, City.
Sama ada lebih ramai jurulatih atau pemain tidak dapat menyertai perlawanan itu kerana perlu menjalani kuarantin akan diputuskan dari semasa ke semasa.
Beberapa tonggak Arsenal turut dijangkiti Covid-19, namun sehingga hari ini tidak dapat dipastikan sama ada mereka memiliki pemain senior yang mencukupi untuk berdepan City, sekali gus menjadikan keadaan sangat mencabar.

Dalam perkembangan berkaitan, City menerima khabar gembira tepat pada masanya apabila bek kanan England, Kyle Walker kembali menjalani latihan dan akan diturunkan hari ini, dengan misi melebarkan jurang pendahulu kepada 11 mata.
Joao Cancelo dan Nathan Ake mengisi posisi pertahanan semasa kemenangan 1-0 di Brentford kelmarin, manakala Oleksandr Zinchenko mungkin dipanggil semula dalam perlawanan hari ini. – AGENSI