Raducanu belum bertemu semula sentuhan ‘magis’ - Utusan Malaysia

Raducanu belum bertemu semula sentuhan ‘magis’

REAKSI Emma Raducanu selepas tumpas kepada pemain Rusia, Elena Rybakina dalam aksi pembukaan Kejohanan Antarabangsa Sydney di Sydney, Australia semalam. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYDNEY: Kurang seminggu sebelum bermulanya kejohanan tenis Terbuka Australia, Emma Raducanu ‘dibelasah’ dalam perlawanan pertamanya pada 2022 apabila hanya mengutip satu mata ketika menentang pemain Rusia, Elena Rybakina semalam.

Empat bulan selepas melakar kemenangan sensasi muncul pemain pusingan kelayakan pertama merangkul kejuaraan Grand Slam Terbuka Australia (AS), September lalu, bintang remaja Britain itu masih gagal mencari sentuhan ‘magisnya’.

Semalam, Raducanu, 19, pemain No.18 dunia tumpas 0-6, 1-6 kepada Rybakina yang berada di ranking ke-13 dunia hanya dalam masa 55 minit pada Kejohanan Antarabangsa Sydney.

“Ia perlawanan sangat sukar tetapi bagus kerana saya begitu bangga dan gembira berjaya menempatkan diri di sana.

“Saya akui, kekalahan ini ha­dir terlalu awal tetapi saya dapat benar-benar menguji kemam­puan dan di mana kedudukan sebenar saya ketika ini.

“Situasinya sangat jelas, saya perlu memperbaiki banyak kelemahan untuk bersaing di peringkat yang sangat kompetitif,” kata Raducanu.
Menurut Raducanu, yang tidak memenangi sebarang kejohanan sejak kejayaan pada Terbuka AS, perlawanan semalam membantunya mengenal pasti kelemahan menjelang Terbuka Australia yang bermula 17 ­Januari depan.

“Saya fikir ia akan membantu saya meletakkan diri dalam kedudukan lebih baik minggu depan,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN