IPOH: Persatuan Lawn Tenis Perak (PLTP) memberi sumbangan kepada dua pemain remajanya, Mitsuko Leong dan adiknya, Shihomi untuk menyertai kejohanan Remaja Dunia Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF ) yang bermula di Singapura, 17 Januari ini.
Kedua-dua pemain akan beraksi dalam kategori J5 (17-22 Januari) dan J4 (24 hingga 29 Januari), kata Naib Presiden PLTP, Fazwil Abdul Wahid.
“Sumbangan yang diberikan tidaklah banyak hanya RM2,500 tetapi kami harap sedikit sebanyak ia dapat membantu Mitsuki dan Shihomi bertanding pada Kejohanan Remaja Dunia.
“Mudah-mudahan ia dapat mengurangkan bebanan kedua-dua pemain yang akan diiringi bapa mereka, Jeff Leong selaku jurulatih,” kata Fazwil selepas majlis penyerahan cek, Sabtu lalu.
Mitsuki, 17, kini menghuni ranking ke-340 ITF selepas merangkul empat gelaran peringkat umur di Nonthaburi, Thailand pada November dan Disember lalu.
Sementara itu, Timbalan Presiden II PLTP, Roslen Hashim berkata, kedua beradik itu memerlukan sumbangan besar daripada pihak korporat dan kerajaan bagi mencapai hasrat bergelar pemain bertaraf dunia.
“Tidak mustahil mereka boleh mencapai kejayaan seperti yang pernah dikecapi pemain Asia lain dari Thailand, Jepun, China dan Indonesia,” katanya.
Beliau menambah, prestasi konsisten Mitsuki dan Sihomi perlu dipantau bagi memastikan kesinambungan bakat remaja tenis negeri dan negara terus berkembang.