Pelajar inspirasi Cikgu Cherry sertai STL - Utusan Malaysia

Pelajar inspirasi Cikgu Cherry sertai STL

KERATAN akhbar Mingguan Malaysia hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DEMI cinta terhadap sepak takraw dan kerjayanya sebagai seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Za’ba di Senaling, Kuala Pilah, kapten Putrajaya Cyborg, Suhairi Sulaiman sanggup berulang-alik dari Negeri Sembilan ke ibu negara.

Sepanjang pusingan pertama Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022 berlangsung di Stadium Titiwangsa sejak awal bulan ini, Suhairi yang lebih mesra disapa Cikgu Cherry perlu membahagikan fokus sebagai pemain dan guru.

Dia yang memulakan karier sebagai pendidik sejak lima bulan lalu, tidak keberatan berbuat demikian kerana tujuannya menyertai STL adalah untuk memberikan pendedahan kepada pelajarnya tentang sukan itu.

IMPIAN Suhairi Sulaiman mahu melihat lebih ramai pelajarnya di SMK Za’ba menceburi sukan sepak takraw.

“Saya menyertai STL kerana budak-budak (pelajar) . Tujuan saya untuk bagi pendedahan kepada mereka agar ikut jejak langkah saya.

“Saya jadikan diri saya model contoh kepada pelajar kerana tiada guru yang pernah buat macam saya,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Sudah terbiasa dengan kehidupan begitu sejak menuntut di Universiti Putra Malaysia (UPM), menurut Suhairi, seusai mengajar di sekolah pada setiap Jumaat, dia akan terus berangkat ke Putrajaya bagi menyertai rakan sepasukannya yang lain.

ZAMAN menyarung jersi skuad kebangsaan sudah berlalu buat Suhairi.

“Dalam pasukan, saya sahaja berada di luar Lembah Klang, bermula pukul 3.30 hingga 6 petang saya akan melatih budak-budak, selepas itu berlatih sendiri di rumah dekat Senaling.

“Jadi pada hari bekerja saya berada di Kuala Pilah berlatih sendiri. Apabila tiba hari Jumaat, selepas sekolah saya akan terus ke Kuala Lumpur dan jika ada perlawanan hari tersebut, maka, saya akan terus bermain,” ujar pemegang Ijazah Pendidikan Jasmani itu.

Suhairi yang pernah meraih pingat perak acara beregu pada Sukan SEA 2017 berkata, dia tidak berdepan masalah untuk menjaga kecergasan kerana rutin tersebut telah dijalaninya sejak bergelar pemain kebangsaan lagi.

MENJADI tonggak penting Putrajaya Cyborg dalam STL 2021/2022.

Pernah bermain untuk Penang Black Panthers, anak kelahiran Kuala Pilah itu menjelaskan, selain dia beberapa pemain Cyborg lain turut memiliki kerjaya tetap.

Mengulas lanjut tentang karier sebagai guru, selepas ditukarkan ke SMK Za’ba dia dapat memainkan peranan sebenar selaku jurulatih sepak takraw dan guru Pendidikan Jasmani.

Bakal mendirikan rumah tangga Mei ini bersama bekas pemain bola jaring Kedah, Aisyah Abdul Rahim, Suhairi berharap penyertaannya di STL dapat menarik lebih ramai pelajar untuk memilih sukan sepak takraw.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN