Khairul lega dapat Biasiswa Olimpik - Utusan Malaysia

Khairul lega dapat Biasiswa Olimpik

KHAIRUL ANUAR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hadir tepat pada waktu.

Tidak sampai seminggu selepas elaun bulanannya dalam program elit dipotong Majlis Sukan Negara (MSN), Khairul Anuar Mohamad menerima khabar gembira daripada Majlis ­Olimpik Malaysia (MOM) apabila tersenarai sebagai 15 pe­nerima Biasiswa Olimpik.

Jaguh memanah negara itu menyifatkan biasiswa tersebut dapat menampung kehilangan pendapatan daripada elaun, sekali gus menaikkan semula semangatnya untuk memburu tiket ke temasya Paris 2024.

Khairul, 31, yang pernah mewakili Malaysia dalam tiga Sukan Olimpik berkata, biasiswa itu mampu membantu membayar komitmen bulanan.

“Nilai (biasiswa) saya tidak boleh cakap sebab saya pun tak tahu, mungkin tidak sama de­ngan nilai yang dulu.

“Dalam situasi sekarang, elaun saya pun dipotong kepada RM800, terus terang tidak cukup. Dengan jumlah itu, saya masih ada hutang, jadi biasiswa yang akan diterima nanti dapatlah menampung kekurangan elaun latihan bulanan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kata Khairul, 31, biarpun masih bujang, namun dia mempunyai banyak komitmen yang perlu dilunaskan setiap bulan, malah bakal mendirikan rumah tangga bulan depan.

Atlet kelahiran Pahang itu sudah tiga kali layak ke Olimpik secara merit, meraih pingat perak Kejohanan Dunia (2019) dan emas Sukan SEA.

“Saya ada menyewa rumah sejak 2015 kerana latihan mesti diteruskan meskipun tidak lagi menetap di asrama MSN.

“Dengan biasiswa ini, saya akan menggunakannya sebagai duit poket semasa menyertai kejohanan di luar negara kerana biasanya banyak makanan yang disediakan penganjur kami tidak boleh makan,” katanya.

Semalam, MOM mengumumkan 15 penerima Biasiswa Olimpik yang  terdiri dalam kalangan atlet paling berpotensi layak ke Olimpik Paris 2024.

Badan sukan negara itu menerima 40 pencalonan atlet daripada 11 jenis sukan, namun selepas melakukan saringan hanya 15 atlet daripada lima sukan layak menjadi penerima.

Dalam perkembangan berkaitan, Khairul dijangka menyertai dua kejohanan antarabangsa sebelum Sukan SEA berlangsung di Vietnam, Mei ini iaitu di Bangkok (Mac) dan Turki pada April.

“Disebabkan dunia masih menghadapi wabak Covid-19, kami perlu menjalani kuarantin setiap kali pulang dari luar negara.

“Perkara itu memakan masa dan menyebabkan penyertaan kejohanan peringkat antarabangsa adalah terhad,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya