fbpx

23 Mei 2022, 3:25 pm

  TERKINI

Cyborg selesa jadi pasukan ‘underdog’

APIT kanan Putrajaya Cyborg, Mohamad Muslim M. Ramli (kanan) melakukan hadangan ketika menentang Kelantan Warriors dalam Liga Sepak Takraw 2021/2022 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur semalam. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semakin mendapat perhatian selepas melakar dua keputusan sensasi minggu lalu iaitu mengejutkan Penang Black Panthers dan Selangor Pistons, Putrajaya Cyborg bagaimanapun tetap menganggap diri mereka sebagai pendatang baharu Premier.

Sebagai muka baharu liga utama dan membariskan ramai pemain ‘separuh masa’, Cyborg enggan memberi tekanan kepada diri sendiri apabila berdepan juara bertahan, Kuala Lumpur (KL) Thunder hari ini.

Semalam, skuad bimbingan  Zulkarnain Arif itu melakar satu lagi keputusan sensasi, menumpaskan Kelantan Warriors 19-21, 21-12, 21-19 untuk kemenangan kelima daripada lapan perlawanan setakat ini.

Sejak awal lagi, naib juara Divisyen 1 itu tidak meletakkan sasaran tinggi terhadap pasukan, namun empat kemenangan yang dilakar daripada tujuh perlawanan meletakkan mereka pada kedudukan keempat liga.

“Kami tidak berasa tertekan kerana kami datang daripada Divisyen 1 dan pasukan juga tidak meletakkan sasaran tinggi. Kami hanya mahu memberikan aksi terbaik dan tentangan se­ngit kepada lawan.

“Menjelang perlawanan menentang KL Thunder, saya berharap semua pemain dapat bersedia dan beraksi dengan baik. Sekiranya tewas, biarlah kami kalah bermaruah.

“Mengikut perlawanan sebelum ini, Putrajaya tidak pernah lagi tewas dalam perlawanan straight-set, jadi itu menunjukkan sekiranya pasukan kalah sekalipun, kami tetap memberikan tentangan sengit,” kata pengurus pasukan, Shahzan Ismail kepada Utusan Malaysia.

PUTRAJAYA Cyborg (baju putih) dianggap kejutan terbesar dalam STL 2021/2022.

Pertemuan menentang KL Thunder hari ini adalah aksi terakhir Putrajaya pada pusingan pertama STL 2021/2022 sebelum liga berehat dari 31 Januari hingga 10 Februari bagi memberikan laluan kepada saingan Divisyen 1 yang bermula 1 hingga 6 Februari, juga di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Shahzan berkata, kejayaan pasukannya ketika ini hasil kerja keras pemain yang sentiasa bersemangat biarpun kerjaya bermain sepak takraw ini bukan kerjaya sepenuh masa mereka.

“Mereka bukan pemain takraw sepenuh masa tetapi dengan berbekalkan semangat dan komitmen mereka, mereka selayaknya berada di kedudukan sekarang. Tahniah untuk semua,” ujarnya.

POPULAR

KOSMO! TERKINI