BARCELONA: Minggu indah Lionel Messi bakal bertukar mimpi ngeri selepas hotel miliknya yang bernilai 26 juta pound (RM146 juta) kemungkinan dirobohkan.
Bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu baru meraikan kejayaan menjulang trofi Ballon d’Or buat kali ketujuh, Isnin lalu sebelum dia menerima berita kurang menggembirakan dari Barcelona.
Hotel itu dikatakan tidak memenuhi standard ditetapkan pihak bandar raya Sitges.
Hotel MiM Sitges bertaraf empat bintang terletak tidak jauh dari kawasan persendirian yang didiami Messi dan keluarganya sepanjang beraksi di Barcelona.
Menurut akhbar dalam talian Sepanyol, El Confdencial, perintah mahkamah agar hartanah itu dirobohkan kini dalam status menunggu.
Begitupun, Messi mahupun pasukannya enggan mengulas ketika ditanya mengenai perkara tersebut.
Messi yang turut memiliki hotel di Ibiza dan Majorca telah membelanjakan 26 juta pound untuk membeli Hotel MiM Sitges pada 2017.
Bagaimanapun, dia membeli hartanah tersebut tanpa mengetahui bangunan itu sedang berdepan ancaman dirobohkan
kerana binaannya tidak mematuhi syarat Dewan Bandaraya Sitges.
Masalah utama hotel tersebut adalah balkoni yang terlalu besar, sedangkan ia menjadi tunjang kepada keseluruhan bangunan.
Itu bermakna, seluruh bangunan akan runtuh jika balkoni dikecilkan atau dirobohkan.
Selain itu, pelan kecemasan kebakaran juga gagal mengikut spesifikasi ditetapkan.
Messi, 34, hanya mengetahui tentang perintah mahkamah apabila El Confidencial menghubunginya bagi mendapatkan komen.
Hotel tersebut mempunyai 77 bilik, termasuk lima suite junior dan satu suite.
Kadar terendah untuk semalam adalah 105 pound (RM590) bagi bilik standard.
Bagaimanapun, Sky Bar di atas bumbung menjadi tarikan utama kerana menawarkan panorama bandar serta Laut Mediterranean. – AGENSI