Luka Shahrul masih berdarah - Utusan Malaysia

Luka Shahrul masih berdarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Tonggak pertahanan Harimau Malaya, Shahrul Saad mengakui, luka lama di Hanoi pada 2018 masih berdarah selepas tewas kepada Vietnam di final, sekali gus terlepas peluang menjulang Piala AFF.

Shahrul yang bakal membuat penampilan ketiga dalam kejohanan bola sepak Asia Tenggara itu memasang impian untuk menebus kekecewaan dengan cuba membawa pulang trofi ke Malaysia buat kali pertama sejak 2010.

Kata pemain yang terkenal dengan julukan Badak, di Asia Tenggara tiada pasukan yang boleh dianggap benar-benar menonjol, sebaliknya peluang amat terbuka buat semua negara.

“Saya masih tidak boleh lupakan kenangan pahit 2018 itu, ini peluang terbaik untuk saya dan rakan lain (menebus kekecewaan). Memang harap untuk mendapatkan kejuaraan di Singapura.

“Skuad kali ini dan 2018 ada perbezaan kerana ramai pemain tidak menyertai pasukan kali ini tetapi saya tetap percaya dengan rakan-rakan yang menggalas tanggungjawab,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Ketika ditanya mengenai tahap kecergasan dan kecederaan lutut yang memaksa Shahrul berehat hampir enam bulan, pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT) itu menjelaskan dia sudah pulih sepenuhnya.

“Selepas menjalani tempoh pemulihan dan mendapatkan latihan yang terbaik di JDT. Sekarang semuanya dalam keadaan baik dan saya bersedia sepenuhnya untuk bersama pasukan kebangsaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Shahrul menyeru rakan sepasukannya untuk mula memberi fokus pada perlawanan pertama dan paling penting adalah meraih kemenangan apabila menentang Kemboja, Isnin nanti.

“Bagi saya perlawanan pertama sangat penting untuk kita mendapatkan kemenangan namun sedar Kemboja mesti beri saingan sengit. Tentang tempoh latihan (singkat) ia tidak boleh dijadikan alasan dan apa saya lihat pemain semua telah beri yang terbaik,” jelasnya.

Tiga tahun lalu, skuad negara tewas 3-2 secara agregat di pentas final kepada Vietnam selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 di Kuala Lumpur, sebelum Malaysia tewas 0-1 pada aksi timbal balik di Hanoi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN