Kekalkan trio Akhyar, Safawi, De Paula - Utusan Malaysia

Kekalkan trio Akhyar, Safawi, De Paula

AKHYAR Rashid beraksi cemerlang dalam aksi pembukaan Piala AFF menentang Kemboja.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Biarpun Luqman Hakim Shamsudin, Shahrel Fikri Md. Fauzi dan Ko­gileswaran Raj membawa impak positif ketika Malaysia me­numpaskan Kemboja, Isnin lalu, namun Tan Cheng Hoe patut mengekalkan kesebelasan utamanya bertemu Laos hari ini.

Bekas kapten Harimau Malaya, Shukor Adan percaya, jentera serangan ‘set kedua’ iaitu Luqman, Shahrel dan Ko­gileswaran mendapat kelebihan ketika Malaysia menewaskan Kemboja 3-1.

Katanya, ketika mereka masuk, barisan serangan ‘set pertama’ yang diketuai Guilherme De Paula, Akhyar Rashid dan Safawi Rasid terlebih dahulu membuat pertahanan Kemboja kepenatan.

“Kita harus kekalkan kesebelasan utama yang menyaksikan kita menang dalam perlawanan menentang Kemboja terlebih dahulu sebab semasa ‘set kedua’ itu turun, pemain Kemboja telah kepenatan kerana ‘set pertama’ ini melakukan asakan.

“Bagi saya ia taktikal yang baik. Kekalkan ‘set pertama’ sebab mereka tengah mencari rentak ekoran tempoh latihan yang pendek serta tiada aksi pemanas badan.

“Tiada masalah sama ada set satu atau dua kerana semua pemain mahu memberi yang terbaik apabila diturunkan.

“Paling penting macam mana mereka merencana corak permainan pada petang esok,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Luqman, 19, mencipta gerakan menarik untuk gol ketiga yang disempurnakan Ko­gileswaran.

Gol pembukaan Malaysia pula disempurnakan Safawi menerusi sepakan penalti dan gol kedua menerusi umpanan cantik Syafiq Ahmad yang disudahkan Akhyar.

Ketika ditanya mengenai cabaran Laos, Shukor menjangkakan mereka akan bermain secara bertahan.

Bermakna, anak-anak buah Tan Cheng Hoe perlu lebih kreatif dan agresif mencipta peluang untuk menjaringkan gol.

“Kalau kita lihat semasa Laos bermain dengan Vietnam, mereka menerapkan corak bertahan dan parking bas, jadi pemain negara kena cari peluang menembusi benteng.

“Saya rasa kalau kita dapat menjaringkan gol awal mungkin Laos akan bermain lebih terbuka sebab sudah perlawanan kedua, mereka pasti tidak mahu terima kekalahan lagi.

“Dalam aksi pertama, pasukan negara melakukan perkara yang positif, mungkin lawan Laos kita perlu banyakkan lagi mencipta peluang untuk menjaringkan gol kerana kita tahu Laos akan turun dengan taktikal bertahan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya