PETALING JAYA: Indonesia menghantar amaran awal kepada skuad Harimau Malaya menjelang aksi hidup mati Piala AFF Ahad ini selepas mengikat juara bertahan, Vietnam dengan keputusan seri tanpa jaringan, malam kelmarin.
Di atas kertas, Naga Emas diramalkan tiada masalah mara ke separuh akhir apabila bertemu Kemboja dalam aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Bishan, hujung minggu ini.
Jurulatih Indonesia, Shin Tae-yong berkata, kekuatan mental menjadi kunci utama kejayaan mereka mengikat Naga Emas, sambil memuji persembahan anak-anak buahnya, yang rata-rata dibarisi pemain muda.
“Sebelum perlawanan, saya memberitahu kepada pemain supaya mengelak daripada kekalahan dan cuba mengutip sekurang-kurangnya satu mata.
“Vietnam adalah pasukan yang bagus tetapi saya memberitahu kepada pemain, kekuatan mental adalah amat penting.
“Saya berpuas hati terhadap pemain saya dan keputusan ini,” katanya.
Keputusan itu menyaksikan skuad Garuda menduduki tangga kedua carta kumpulan B, berkongsi tujuh mata bersama Vietnam, manakala Malaysia di tempat ketiga (enam mata).
Malaysia bakal turun dengan misi wajib menang ke atas Indonesia dalam saingan akhir Kumpulan B di Stadium Nasional, Singapura, Ahad ini.