79 pelumba muda sertai Jelajah Negeri Sembilan 2021 - Utusan Malaysia

79 pelumba muda sertai Jelajah Negeri Sembilan 2021

YUNUS Ibrahim (tiga dari kanan) dan Mohamad Taufek (empat dari kanan) bersama pelumba basikal dari pasukan Terengganu pada Majlis Pengenalan Pasukan Kejohanan Berbasikal Jelajah Negeri Sembilan 2021 di Bandar Sri Sendayan, Seremban hari ini. -UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seramai 79 orang pelumba muda dari 14 buah pasukan negeri termasuk dua buah kelab dan sebuah pasukan skuad pelapis Majlis Sukan Negara (MSN) akan menyertai kejohanan berbasikal Jelajah Negeri Sembilan 2021 yang bermula esok sehingga 5 Disember depan.

Timbalan Presiden Persatuan Berbasikal Negeri Sembilan, Yunus Ibrahim berkata, kesemua pelumba terlibat akan mengharungi laluan sejauh 387 kilometer yang akan berakhir di daerah Rembau pada Ahad depan.

“Kejohanan ini akan melibatkan 14 buah negeri yang bertanding mengikut peringkat umur iaitu 17 hingga 22 tahun yang kami fikirkan yang terbaik bagi menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) pada tahun 2022.

“Jelajah ini juga satu program pembangunan untuk mencari pelumba terbaik untuk negara dan salah satu cara melihat prestasi setiap pelumba bagi menghadapi Sukma akan datang,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pengenalan Pasukan Kejohanan Berbasikal Jelajah Negeri Sembilan 2021 di Bandar Sri Sendayan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Datuk Mohamad Taufek Abdul Ghani dan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Wahab.

Kejohanan tersebut dianjurkan Persatuan Berbasikal Negeri Semnilan dengan kerjasama kerajaan Negeri Sembilan itu akan merentasi sebahagian besar negeri ini iaitu melalui Bandar Sri Sendayan, Lenggeng, Mantin, Nilai dan Rembau sejauh 387 kilometer bagi merebut hadiah keseluruhan bernilai RM15,000.

Pasukan yang mengambil bahagian termasuk Majlis Sukan Negara (MSN) selain Johor, Kelantan, Kuala Lumpur, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Putrajaya, Sarawak, Selangor, Terengganu dan Negeri Sembilan selain dua pasukan akademi iaitu TSG Cycling Academy dan Darul Naim Cycling Academy.

Dalam pada itu, Yunus memaklumkan, dalam kejohanan tersebut, penganjur akan mengutamakan aspek teknikal seperti yang ditetapkan oleh Kesatuan Berbasikal Antarabanga (UCI).

“Kejohanan juga dilaksanakan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan terutamanya melibatkan keselamatan pelumba, petugas dan juga penonton,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Taufek berkata, kerajaan negeri bercadang menjadikan kejohanan Jelajah Negeri Sembilan dimasukkan di dalam kalendar pelancongan dan sebagai salah satu acara sukan tahunan di negeri ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya