fbpx

9 Disember 2021, 6:56 pm

  TERKINI

Wang ‘musuh’ utama VAR

PENGGUNAAN VAR sukar dilaksanakan dalam Liga Malaysia kerana terlalu mahal, selain status stadium di negara ini merumitkan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kekangan kewangan antara penghalang Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk melaksanakan video bantuan pengadil (VAR) dalam saingan Liga Malaysia buat masa ini.

Pengerusi MFL, Datuk Ab. Ghani Hassan mengakui, penggunaan VAR adalah satu keperluan dan pihaknya sedang dalam proses ke arah perkara itu.

AB. GHANI HASSAN

“Pengadil pun manusia dan kemungkinan juga bila diswastakan, pengadil profesional pun akan melakukan kesilapan. Sebab itu di liga barat ada VAR walaupun pengadil itu pengadil profesional.

“Untuk VAR, kita akan adakan perbincangan bersama FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) mengenai perkara seperti kos dan juga persiapan di venue itu sendiri.

“Pelaksanaan VAR sememangnya sedang dalam perbincangan MFL, banyak perkara  perlu diperhalusi antaranya sumber kewangan yang tinggi untuk melaksanakannya.

“Begitu juga kemampuan stadium itu sendiri untuk menyediakan kemudahan-kemudahan berkaitan antaranya talian internet, sedia untuk sistem pendawaian dan sebagainya.

“Kalau di negara luar, stadium itu dimiliki kelab itu sendiri, namun lain pula di Malaysia ada di antaranya milik pihak berkuasa tempatan (PBT). Jadi banyak benda perlu dilihat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis memperkenalkan Set Komemoratif Edisi Terhad 100 Tahun Piala Malaysia bersama penaja, Ninox Idea & Faidh di Kelana Jaya, semalam.

Halangan tersebut sekali gus meletakkan Malaysia di belakang  negara ASEAN seperti Thailand dan Indonesia dalam penggunaan VAR.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk S. Sivasundaram, penggunaan VAR sekurang-kurangnya menelan belanja RM18 juta ke RM20 juta.

Dalam pada itu, Ab. Ghani percaya, FAM tidak akan berdiam diri dan akan mengambil langkah terbaik dalam memperbaiki mutu pengadilan.

“Pengadil ini berada di bawah bidang kuasa FAM dan berkenaan isu membabitkan pengadil kita selalu bincang dengan FAM. Tapi mutu kepengadilan ini sangat subjektif.

“Saya pasti FAM tidak akan duduk diam mengenai perkara ini, mungkin sampai waktu atau ketika nanti akan dibentangkan di peringkat pengurusan pasukan atau bola sepak negara kita,” katanya.

POPULAR

KOSMO! TERKINI

BERITA BERKAITAN