Tiga bintang remaja tolak wakili England - Utusan Malaysia

Tiga bintang remaja tolak wakili England

MASON GREENWOOD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Gareth Southgate mendedahkan, tiga pemain bintang menolak untuk menyarung jersi England.

Pemain sensasi Manchester United, Mason Greenwood, 20, pada September lalu me­­minta pengurus The Three Lions itu agar tidak menyenaraikan namanya dalam tujuh baki per­lawanan skuad kebangsaan pada 2021.

Bintang remaja Borussia Dortmund, Jude Bellingham, 18, pula memohon untuk tidak beraksi bersama skuad senior pada kelayakan Piala Dunia bulan lalu, manakala pemain sayap Chelsea, Callum-Hudson Odoi menolak untuk menyertai skuad bawah 21 tahun.

JUDE BELLINGHAM

“Kami pergi ke United dan berbual dengan Mason serta ke­luarganya pada September. Kami bersetuju, dia tidak akan dilibatkan sehingga tahun depan.

“Sudah tentu anda lari dari risiko yang kemudian ditanggung orang lain, namun dia masih muda dan masa depannya sangat panjang.

“Jika dia berjaya mengukuhkan kedudukan dalam Manchester United, dia menghampiri skuad England, itu sebahagian proses pembangunan,” katanya.

CALLUM-HUDSON ODOI

Greenwood tidak pernah menyarung jersi England sejak menerima panggilan pertama ketika dihantar pulang dari Iceland gara-gara kontroversi yang dicetuskan bersama Phil Foden pada September 2020, iaitu membawa balik wanita ke bilik hotel di sebalik kekangan Covid-19.

Mengenai Bellingham, Southgate berkata: “Dia memberitahu dirinya memerlukan rehat (bulan lalu). Sekali lagi, anda berurusan dengan pemain muda, jadi anda kena dengar.

“Dia amat berminat me­nyarung jersi England. Jude dalam prestasi terbaik dan bakat besar.

“Kami gembira untuk menyenaraikannya sekali lagi (kelayakan menentang Albania, 13 November dan San Marino, 16 November).”

Mengenai Hudson-Odoi, 20, jika tidak mendapat panggilan skuad senior, dia lebih rela bersama Blues da­ripada menyarung jersi Young Lions.

“Kami mahu dia bermain untuk pasukan bawah 21. Dia merasakan, lebih baik dia memberikan khidmatnya kepada Chelsea,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN