fbpx

Ronaldo buru rekod 800 gol

CRISTIANO RONALDO

LONDON: Cristiano Ronaldo turun menentang Chelsea awal pagi esok bersama motivasi memburu rekod jaringan ke-800 dalam kariernya untuk kelab dan negara.

Jaringannya bersama Manchester United ketika menewaskan Villarreal 2-0 dalam Liga Juara-Juara, Rabu lalu membawa mereka ke pusingan kalah mati dengan Ronaldo meledak enam daripada 10 gol di peringkat kumpulan.

Bintang Portugal itu mengumpul 10 gol dalam 14 penampilan sejak kepulangannya ke Old Trafford, namun ada yang menganggap kehadiran pemain berusia 36 tahun itu menyebabkan Red Devils tidak seimbang.

Antara hujah yang diberikan ialah kehadirannya mengganggu pelan asal Ole Gunnar Solskjaer, malah pemenang Ballon d’Or lima kali itu juga dikatakan tidak sesuai untuk bola sepak moden.

Begitupun hakikatnya Ronaldo masih cemerlang menjaringkan gol. Dia kini mengumpul 799 gol sejak 19 tahun lalu dan belum kelihatan angka itu akan berhenti di situ.

“Dia muncul dalam perlawanan penting pada waktu yang tepat, ketika anda amat memerlukannya.

“Dia tenang dan tidak gugup apabila ada peluang,” kata jurulatih United, Michael Carrick yang mengambil alih tugas Solskjaer selepas pengendali dari Norway itu dipecat. – AGENSI

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!