JDT selangkah pertahan Piala Malaysia - Utusan Malaysia

JDT selangkah pertahan Piala Malaysia

PEMAIN JDT meraikan jaringan Bergson Da Silva ketika mengalahkan Terengganu FC dalam separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam tadi. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) menempah tiket ke final Piala Malaysia selepas menjinakkan  Sang Penyu 3-0 pada separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim, di sini sebentar tadi.

Dua jaringan Bergson Da Silva dan satu gol  dihasilkan Gonzalo Cabrera membolehkan Harimau Selatan menang dengan agregat 4-1.

Pertemuan menentang Terengganu FC (TFC) yang diramal menjadi pertembungan sengit jauh meleset apabila tuan rumah mudah meledak tiga gol dalam tempoh 15 minit permainan.

Beraksi di hadapan lebih 17,000 penonton, penyerang import kelahiran Brazil itu membuka jaringan pada minit keenam hasil sepakan voli dari jarak 25 meter menewaskan penjaga gol, Suhaimi Husin.

Gawang Terengganu FC (TFC) sekali lagi bocor pada minit ke-10 menerusi larian lipas kudung Arif Aiman Hanafi yang mengumpan bola kepada Afiq Fazail lalu menghantar kepada Bergson yang mendada bola itu kepada Cabrera untuk meledak gol kedua permainan.

Pasukan kendalian Nafuzi Zain dilihat bagai hilang punca itu terus dihukum JDT menerusi jaringan kedua Bergson apabila menghukum kesilapan benteng pertahanan lawan pada minit ke-14.

Perlawanan itu bertukar tegang setelah pemain senior Harimau Selatan, Safiq Rahim dilayangkan kad merah setelah menghantuk kepala Faisal Halim pada minit ke-16.

Faisal kelihatan berkatakan sesuatu kepada bekas kapten JDT itu sebelum Safiq bertindak agresif melakukan kekasaran tersebut.

JDT yang bermain dengan 10 pemain diasak pasukan lawan dan gawang mereka hampir dibolosi pada minit ke-36 namun peluang keemasan itu disia-siakan Jordan Mintah apabila percubaan jarak dekatnya melambung tinggi.

Biarpun bermain dengan 10 pemain, JDT dilihat masih mampu menyaingi TFC, bahkan Bergson hampir melengkapkan hatrik pada perlawanan itu menerusi percubaan pada minit ke-56 namun rembatannya sedikit tersasar.

Pada minit ke-64, Habib Haroon Saeed melakukan percubaan rembatan jarak jauh ke arah tiang gol namun berjaya diselamatkan Farizal Marlias mengelakkan gawang dibolosi.

Pemain sandaran TFC, Faisal Halim, Faiz Nasir dan Mintah yang disebut-sebut mampu mencipta keajaiban gagal menghasilkan gerakan menarik memburu gol tunggal.

Barisan pertahanan JDT yang dibarisi Mauricio Dos Santos, Shane Lowry, S. Kunanlan, Matt Davies dan Arif Aiman berjaya mengekang serangan lawan bagi memastikan tiada gol dapat dihasilkan.

JDT perlu menunggu sehingga tengah malam ini untuk mengetahui siapakah lawan mereka di pentas final setelah aksi separuh akhir antara Melaka United dan Kuala Lumpur City FC bermula pukul 10.08 malam disebabkan gangguan elektrik di Stadium Hang Jebat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.