fbpx

9 Disember 2021, 6:42 pm

  TERKINI

‘Hang Zainal’ dulu dikecam kini disanjung

ZAINAL Abidin Hassan mengendalikan latihan Melaka United di Stadium Hang Tuah, Melaka semalam dalam persiapan menghadapi Kuala Lumpur City pada separuh akhir kedua Piala Malaysia malam ini. – UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Selepas merubah nasib Melaka United daripada pasukan ‘tiada harapan’ kepada calon juara Piala Malaysia, kini Zainal Abidin Hassan mahu menunaikan hajat untuk membawa Sang Kancil melangkah ke final buat kali pertama dalam sejarah.

Dulu beliau dikecam hebat oleh penyokong fanatik pasukan itu, malah hampir dipecat gara-gara prestasi Melaka United ibarat yo yo pada awal musim Liga Super.

Keadaan menjadi lebih getir berbaki empat perlawanan ketika peluang Melaka menghampiri zon penyingkiran ke Liga Perdana, selain kemaraan ke saingan Piala Malaysia merintis laluan sukar.

Situasi itu menyebabkan sebuah syarikat pengeluar sarung tangan, KenTeam Sdn. Bhd. (KenTeam) mengambil alih pengurusan skuad Melaka ekoran prestasi tidak menentu.

Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Datuk Seri Justin Lim membuat keputusan bijak apabila mengekalkan Zainal hingga Melaka tidak kalah dalam empat perlawanan tersebut dan kekal beraksi ke Liga Super musim depan dan turut layak ke saingan Piala Malaysia.

Kini bekas pemain kebangsaan itu mula disanjung penyokong yang pernah mengkritiknya apabila Melaka selangkah untuk ke final Piala Malaysia buat pertama kali dalam sejarah dan hanya perlu menewaskan Kuala Lumpur (KL) City pada separuh akhir kedua malam ini.

ZAINAL Abidin Hassan (kanan) mengendalikan latihan Melaka United di Stadium Hang Tuah semalam dalam persiapan menghadapi Kuala Lumpur malam ini. – UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD

Keputusan seri 1-1 dalam aksi pertama di Cheras, Isnin lalu meletakkan Melaka berkelebihan gol di tempat lawan apabila menerima kunjungan KL City malam ini.

“Apa yang saya lalui pada awal saingan Liga Super memang benar-benar menguji. Saya dikritik dan dikecam, namun semangat saya tidak luntur kerana saya yakin barisan pemain yang ada ini sebenarnya mampu membuat kejutan.

“Sebagai jurulatih, saya tahu prestasi pemain pada awal musim agak goyah kerana tidak ada persefahaman.

“Perkara ini tidak boleh diperoleh dalam masa yang singkat. Keyakinan saya ketika itu begitu tinggi dan alhamdulillah mereka buktikan hingga mara ke separuh akhir.

“Mungkin ramai tidak meramalkan Melaka mampu ke separuh akhir tetapi saya lebih yakin setelah persefahaman berjaya dibentuk dan pemain sudah mula serasi. Inilah sebenarnya yang hendak saya tonjolkan,” ujarnya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.

Kata Zainal, sewaktu bermain buat Selangor, mendakap Piala Malaysia sudah satu kelaziman, namun beliau mengambil keputusan meninggalkan pasukan itu itu untuk menyertai Pahang pada 1983 dan Tok Gajah berjaya muncul juara tewaskan Red Giants 3-2.

“Sebagai jurulatih selama tiga musim di Melaka, inilah masanya saya hendak tunaikan hajat membawa Melaka ke perlawanan akhir seperti mana saya lakukan bersama Pahang sebagai pemain,” ujarnya.

POPULAR

KOSMO! TERKINI

BERITA BERKAITAN