fbpx

1 Disember 2021, 12:29 am

Saya harap ayah tenang di sana – Nik Akif

NIK AKIF SYAHIRAN NIK MAT bergenang air mata ketika ditemui pemberita di KLIA, Sepang untuk berlepas ke Ulaanbaatar, Mongolia bersama skuad kebangsaan, sebentar tadi.- IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: “Saya harap…ayah…tenang di sana. Akif akan jaga keluarga sebaik mungkin”.

Demikian luahan Nik Akif Syahiran Nik Mat susulan kehilangan bapa tercinta sehari sebelum pemain skuad bawah 22 (B-22) tahun negara itu berlepas ke Mongolia bagi mengharungi kelayakan Piala Asia B-23 2022 pada 25 hingga 31 Oktober ini.

Pemain Terengganu itu bergenang air mata ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini untuk berlepas ke Ulaanbaatar, Mongolia bersama skuad kebangsaan, sebentar tadi.

Nik Akif, 22, berkata, dia mahu menunaikan hasrat arwah bapanya, Nik Mat Yusof yang ingin melihatnya berjaya sebagai pemain bola sepak.

SKUAD B-22 NEGARA akan mengharungi kelayakan Piala Asia B-23 2022 di Ulaanbaatar, Mongolia pada 25 hingga 31 Oktober ini.- IHSAN FAM

Tambah pemain tengah itu, kali terakhir dia bertemu bapanya ketika pulang ke kampung halaman di Kuala Krai, Kelantan sebelum hadir ke kem latihan pusat Fasa 2 pada 4 Oktober lalu.

“Saya jadikan ia sebagai sumber semangat saya sebab ayah saya nak tengok saya berjaya dalam bola sepak. Saya harap saya dapat buktikan dan buat yang terbaik untuk beliau. Insya-Allah.

“Bagi saya ini impian ayah untuk tengok saya berjaya. Saya kena tunaikan janji untuk jadi pemain terbaik,” ujar Akif, yang kehilangan bapanya, Nik Mat, 50 selepas motosikal ditungganginya terlibat dalam kemalangan di Kuala Krai, semalam (Selasa).

Tangkap layar Instagram Story Nik Akif.

Sejurus mendengar perkhabaran duka itu, Akif bergegas pulang ke Kelantan dengan menaiki pesawat dan sempat menatap wajah arwah bapanya buat kali terakhir sebelum dikebumikan malam semalam.

Bekas pemain Kelantan itu kemudian pulang ke Kuala Lumpur semula tengah hari tadi (Rabu) bagi bersama-sama dengan skuad kebangsaan untuk berlepas ke Mongolia.

Malaysia diundi bersama tuan rumah, Mongolia selain Thailand dan Laos dalam Kumpulan J, kelayakan Piala Asia B-23 2022.- IHSAN FAM

“Kami semua akan sentiasa memberi sokongan kepada Nik Akif dalam saat-saat sukar ini dalam usaha memastikan dia dapat mengawal keadaan semasa yang melanda dirinya ketika ini,” kata pengendali skuad B-22 negara, Brad Maloney.

Pada kempen kelayakan tersebut, Malaysia diundi bersama tuan rumah, Mongolia selain Thailand dan Laos dalam Kumpulan J, dengan kesemua aksi akan berlangsung di Stadium Persekutuan Bola Sepak Mongolia (MFF) di Ulaanbaatar.

POPULAR

KOSMO! TERKINI