Sarawak United berisiko turun liga - Utusan Malaysia

Sarawak United berisiko turun liga

STUART RAMALINGAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hukuman berat menanti naib juara Liga Perdana, Sarawak United FC sekiranya terbukti terdapat masalah tunggakan gaji yang tidak dapat diselesaikan pasukan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam menjelaskan antara tindakan yang boleh dikenakan adalah larangan perpindahan pemain, diturunkan ke liga lebih rendah atau paling serius lesen ditarik balik.

Bagaimanapun, Stuart berkata, tindakan itu hanya boleh diambil selepas segala proses termasuk siasatan dilakukan sepenuhnya oleh First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab MFL.

“Dalam kes Sarawak United, ada dua perkara akan berlaku jika didapati memang ada tunggakan yang tidak dapat diselesaikan. Perkara ini (tindakan) selepas siasatan yang akan dibuat oleh unit pelesenan kelab dan dibawa semula FIB.

“Antara keputusan yang boleh diambil adalah larangan perpindahan, diturunkan dari Liga Super ke Liga Perdana atau paling serius lesen akan ditarik balik,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini.

Sekiranya dikenakan tindakan diturunkan ke liga lebih bawah, ia akan menjadi kerugian besar buat Sarawak United selepas mereka berjaya naik ke Liga Super musim depan selaku naib juara Liga Perdana musim ini.

Ditanya, pasukan mana yang bakal mengisi tempat Sarawak United dalam Liga Super musim depan sekiranya skuad The Crocs dikenakan tindakan itu, Stuart menjelaskan senario itu hanya boleh diputuskan oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL.

Difahamkan Sarawak berdepan tunggakan gaji sehingga dua bulan melibatkan pemain dan pegawai pasukan tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya