KBS sasar 2.5 juta sertai HSN2021 esok - Utusan Malaysia

KBS sasar 2.5 juta sertai HSN2021 esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pandemik Covid-19 tidak menghalang rakyat Malaysia untuk kekal cergas, malah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyasarkan 2.5 juta penyertaan pada Hari Sukan Negara 2021 (HSN2021) esok.

Walaupun aktiviti sukan dan rekreasi sebelum ini terbatas kerana terikat dengan perintah kawalan pergerakan (PKP), namun beberapa kelonggaran yang diberikan akan menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat menerusi aktiviti riadah dan kecergasan.

Berdasarkan objektif HSN2021, matlamatnya adalah ke arah pembudayaan sukan secara menyeluruh walaupun dalam tempoh pelaksanaan Program Pemulihan Negara (PPN).

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, HSN2021 juga berperanan dalam menggalakkan pembangunan ekonomi negara melalui perkembangan industri sukan yang semakin pesat di negara ini.

“HSN2021 meningkatkan dan menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat yang pelbagai kaum supaya terus bersatu untuk terus kekal aktif dan sihat ke arah pemulihan negara yang masih berhadapan dengan penularan wabak pandemik Covid-19.

“Pembangunan industri sukan juga secara tidak langsung akan memberi peluang kepada rakyat untuk terus bersukan melalui pembelian dan penjualan barangan sukan.

“Hal ini secara tidak langsung dapat memberikan sokongan kepada ekosistem sektor sukan dan rekreasi negara,” katanya.

Sejak kali pertama dianjurkan pada 2015, Hari Sukan Negara sentiasa mendapat sambutan daripada pelbagai peringkat umur apabila menarik  5 juta penyertaan, termasuk 1 juta melibatkan pelajar sekolah di seluruh negara.

Penyertaan rakyat Malaysia di luar negara juga memberangsangkan menerusi kerjasama dengan Kementerian Luar Negeri apabila 7,242 peserta terlibat di 76 Pejabat Kedutaan Luar Negeri.

Hari Sukan Negara 2015 juga mencipta Malaysia Book Of Records  (MBOR) sebagai Penganjuran Aktiviti Sukan Terbanyak Secara Serentak Dalam Satu Hari apabila  17,648 aktiviti sukan dianjurkan.

HSN2021 juga dianggap ‘pelepas rindu’ selepas Hari Sukan Negara 2020 tidak dapat disambut ekoran kes Covid-19 yang tinggi.

IMBAS kod QR HSN2021 sekarang.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.