PETALING JAYA: Sudahlah perlu mengharungi Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Kejohanan Dunia tahun depan, ditambah pula baru bergelar mahasiswi, namun penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri kekal tenang dan tersenyum.
Penerjun berusia 22 tahun, yang mengikuti pengajian Izajah Sarjana Muda Komunikasi Media di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, dia ada cara tersendiri untuk melalui cabaran tersebut.
“Benda macam ini mesti ada cara dia. Pertama sekali saya akan berbincang dengan pensyarah. Selepas itu saya akan berjumpa dengan jurulatih.
“Saya akan cakap kepadanya bahawa pada hari begini-begini saya ada begini-begini dan dia kena lepaskan saya untuk saya belajar.
“Contohnya saya ada kelas pagi, kemudian sebelah petang saya akan turun berlatih. Malam pula saya akan siapkan tugasan yang diberikan pensyarah.

“Saya rasa semua atlet buat perkara sama. Begitulah perancangan saya,” katanya dalam sidang akhbar secara maya selepas Majlis Amanat Naib Canselor dan Minggu Mesra Mahasiswa UKM, semalam.
Olimpian negara itu antara 6,225 pelajar baharu yang terpilih untuk mengikuti pengajian di UKM bagi sesi akademik 2021/2022.
Dhabitah atau lebih mesra disapa Bitah, merupakan antara calon yang berjaya melanjutkan pengajian secara Akreditasi Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL).
Atlet kelahiran Kuala Lumpur itu mengikuti pengajian tersebut di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), UKM, Bangi.