Evra muak Messi selalu menang Ballon d'Or - Utusan Malaysia

Evra muak Messi selalu menang Ballon d’Or

SUDAH memenangi trofi Ballon d’Or enam kali, Lionel Messi menjadi pilihan utama untuk merangkul anugerah berprestij itu buat kali ketujuh tahun ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Legenda Perancis dan Manchester United, Patrice Evra ‘muak’ anugerah Ballon d’Or sering diberikan kepada Lionel Messi dan menyokong pasa­ngan Chelsea, N’Golo Kante atau Jorginho untuk menerima penghormatan pemain bola sepak terbaik dunia itu.

Messi, 34, yang sudah memenangi trofi enam kali menjadi pilihan untuk merangkul anugerah ketujuhnya dalam majlis yang akan diadakan di Paris pada 29 November ini.

Kapten Argentina itu memenangi anugerah berprestij tersebut buat kali pertama pada 2009, diikuti 2010, 2011, 2012, 2015 dan 2019.

Bagaimanapun Evra percaya, Kante, 30, dan Jorginho, 29, le­bih berhak menerima anugerah.

Dua pemain itu menjadi tonggak Chelsea ketika menjulang Liga Juara-Juara buat kali kedua, Mei lalu, malah Jorginho membantu Itali merangkul kejuaraan Eropah (Euro 2020).

Messi pula dinobat sebagai Pemain Terbaik Copa America tahun ini selepas membantu Argentina muncul juara buat kali pertama sejak 1993, selain mengetuai Barcelona menjuarai Copa del Rey.

“Pada pandangan saya, Ballon d’Or kali ini harus diberi kepada Kante atau Jorginho.

“Saya sudah muak ia sering diserahkan kepada Messi,” kata bekas pemain pertahanan itu.

Selain Messi, yang menyertai Paris Saint-Germain musim ini, penyerang Bayern Munich dan Poland, Robert Lewandowski turut menjadi pilihan.

Pemain tengah Sepanyol dan Barcelona, Alexia Putellas pula menjadi pilihan utama untuk dinobat sebagai pemenang Ballon d’Or Feminin bagi pemain wanita terbaik selepas turut memenanginya tahun lalu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya