LONDON: Semua mata ter arah kepada Cristiano Ronaldo ketika Manchester United berharap dapat menebus kekalahan mengejut Liga Juara-Juara kepada Young Boys apabila menentang West Ham esok.
Ronaldo yang meledak dua gol ketika membuat penampilan sulung menewaskan Newcastle 4-1 minggu lalu, selain menjaringkan satu gol dalam kekalahan 1-2 kepada Young Boys menjadi pilihan penerima pertaruhan untuk meledak gol sekali lagi esok.
West Ham yang cemerlang menutup kempen Liga Perdana Inggeris di tangga keenam musim lalu bakal menjadi ujian terbesar buat Red Devils.
Begitupun firma pertaruhan terbesar Britain, William Hill menerima banyak taruhan United akan mengalahkan West Ham dengan Ronaldo sekali lagi muncul penjaring.
William Hill menerima taruhan 30/1 Ronaldo, 36, akan menjaringkan gol pada bila-bila masa.
Pengendali United, Ole Gunnar Solskjaer hanya mahu pasukannya memberi respons terhadap kekalahan, Rabu lalu tanpa mengira siapa meledak gol.
United menang tiga daripada empat perlawanan pertama untuk menerajui liga dengan perbezaan gol ke atas Chelsea, Liverpool serta Everton yang kesemuanya berkongsi 10 mata.
“Kami menunjukkan sikap seperti yang anda harapkan. Fokus, kecewa dengan kekalahan dan cuba bangkit.
“Kekalahan itu memang mengecewakan, namun kami akan lalukan lebih baik lagi,” kata Solskjaer.
Selain United, Chelsea juga mahu meneruskan rekod bersih apabila menentang Tottenham.
Liverpool dan Manchester City pula dijangka tidak berdepan masalah bertemu Crystal Palace serta Southampton. – AGENSI