PSG lebih bagus tanpa Messi - Utusan Malaysia

PSG lebih bagus tanpa Messi

REAKSI Lionel Messi (kanan) ketika meninggalkan padang selepas Paris Saint-Germain sekadar seri 1-1 dengan Club Brugge dalam aksi Liga Juara-Juara di Stadium Jan Breydel, Bruges, Belgium hari ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRUGES, Belgium: Michael Owen mendakwa, Paris Saint-Germain (PSG) kini menjadi pasukan yang lebih lemah dengan kehadiran Lionel Messi selepas trio ‘MNM’ gagal menyerlah ketika seri 1-1 dengan kelab Belgium, Club Bruges dalam aksi Liga Juara-Juara hari ini.

Trio serangan Messi, Neymar serta Kylian Mbappe yang digelar ‘MNM’ tampak kurang menyerlah, berbanding ketika gergasi bola sepak Perancis itu hanya meletakkan Neymar dan Mbappe di bahagian depan menggunakan formasi 4-4-2.

Bekas penyerang Liverpool, Real Madrid dan Manchester United, Owen mendakwa, gandingan tersebut tidak cukup bagus untuk meletakkan PSG sebagai pilihan menjuarai Liga Juara-Juara.

PEMAIN Paris Saint-Germain kecewa gagal pulang bersama kemenangan dalam aksi pembukaan Liga Juara-Juara menentang Club Brugge.

“Pada ketika peminat amat teruja mahu melihat bagaimana tiga bintang besar ini bergabung dalam PSG, ia semakin jelas menunjukkan mereka telah mencipta fenomena dalam cara mereka sendiri.

“Gabungan tiga pemain ini menjadikan PSG bertambah lemah dan saya tidak faham mengapa mereka dianggap pilihan (menjuarai Liga Juara-Juara).

“Saya fikir, kelab England (Chelsea, Liverpool, Manchester City dan Manchester United) jauh lebih hebat,” kata Owen.

Messi akhirnya membuat penampilan sulung bersama PSG di pentas Eropah, namun gagal memberi impak besar di Stadium Jan Breydel.

Ander Herrera meletakkan PSG di depan seawal minit ke-15, namun Hans Vanaken tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan buat tuan rumah, 12 minit berselang.

Beraksi sebagai gantian selama 24 minit dalam perlawanan tersebut, Messi masih mencari gol pertama bersama kelab baharunya dan satu-satunya percubaan terbaik daripada penyerang Argentina itu adalah rembatan yang terkena palang pada babak pertama.

KYLIAN Mbappe (tengah) gagal melepasi dua pertahanan lawan, Stanley Nsoki (kiri) dan Clinton Mata dalam aksi Liga Juara-Juara di Bruges, Belgium. – AFP

Biarpun aksi pemenang Ballon d’Or enam kali itu jauh daripada meyakinkan, jurulatih PSG, Mauricio Pochettino berkata, rangkaian serangan ‘MNM’ masih memerlukan masa untuk menyerlah selepas digandingkan buat kali pertama.

“Kami perlukan masa untuk mereka memahami satu sama lain,” katanya.

PSG akan menanti kunjungan juara Liga Perdana Inggeris, Manchester City di Paris dalam aksi kedua pada 29 September ini.

City kini menerajui Kumpulan A selepas membenam RB Leipzig 6-3 dalam satu lagi perlawanan hari ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.