MADRID: Pengurusan tertinggi Barcelona semakin hilang sabar dengan Ronald Koeman selepas tewas dalam saingan pembukaan Liga Juara-Juara.
Barcelona tewas 0-3 kepada Bayern Munich dalam aksi pertama Liga Juara-Juara di Camp Nou, Rabu lalu.
Menurut rangkaian televisyen Sepanyol, TV3, Barcelona sedang bermesyuarat untuk memecat Koeman serta merta.
Beberapa ahli lembaga pengarah kelab bagaimanapun berbeza pendapat dalam isu ini kerana mereka perlu membayar 12 juta euro (RM59 juta) untuk memecat jurulatih dari Belanda itu.
Jaringan daripada Thomas Muller dan dua daripada Robert Lewandowski menjadikan perlawanan itu lebih berpihak kepada Bayern dan mereka mempunyai peluang untuk mengulangi kemenangan 8-2 seperti dilakukan dua musim lalu.
Keputusan itu menyaksikan Lembaga Pengarah Barcelona akan menyemak semula kontrak yang diberikan kepada Koeman kerana dia gagal mencapai harapan kelab itu.
Barcelona akan berdepan Granada, Cadiz dan Levante dalam tempoh terdekat ini sebelum aksi El Clasico.
Aksi Oktober ini menyaksikan mereka akan berdepan Atletico dan Real Madrid dan kekalahan menyaksikan mereka akan terlepas peluang merebut kejuaraan La Liga.
Skuad Koeman kini berada di kedudukan ketujuh dengan dua kemenangan dan satu keputusan seri.
Spekulasi mengenai masa depan Koeman semakin hangat diperkatakan dengan beberapa pemain mula mempertikaikan taktikal yang digunakannya.-AGENSI