SECARA umumnya, rakyat Malaysia sudah mengetahui mengenai genosid Palestin-Israel dan sejak Februari lalu, tercetus pula Perang Teluk terbaharu melibatkan Iran-Lebanon dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel.
Konflik yang kini berlanjutan hampir enam bulan itu bukan sahaja membawa kesan kemanusiaan dan geopolitik, malah mewujudkan cabaran baharu terhadap kesihatan awam.
Impaknya merangkumi beberapa aspek penting, termasuk tenaga, ekonomi, bekalan ubat-ubatan, makanan, migrasi serta penyakit berjangkit.
Kesan ekonomi perang ini bukan sahaja melibatkan peningkatan harga minyak, baja, diesel dan nafta (hasil sulingan minyak mentah), malah turut mendorong kenaikan kos pengangkutan.
Keadaan itu seterusnya memberi tekanan kepada inflasi, termasuk peningkatan premium insurans perubatan serta kos rawatan pesakit.
Bekalan ubat-ubatan yang melalui Teluk Hormuz pula dianggarkan bernilai hampir AS$23.7 bilion (RM97 bilion), dengan kira-kira 80 peratus daripadanya menuju ke Asia.
Gangguan di laluan berkenaan boleh menyebabkan sebahagian bekalan tersangkut, manakala ubat tertentu seperti antibiotik berdepan risiko rosak atau tidak dapat dihantar.
Walaupun sebahagian besar ubat di Malaysia menerima subsidi kerajaan dan prinsip subsidi kepada rakyat dijangka kekal, gangguan rantaian bekalan masih boleh menyebabkan harga meningkat serta sesetengah ubat sukar diperoleh. Kos peralatan perubatan seperti kateter, sarung tangan dan picagari juga berpotensi meningkat berikutan kekangan bekalan bahan mentah, termasuk nafta.
Keadaan ini boleh memberi tekanan lebih besar kepada pesakit yang menghidap penyakit kronik, khususnya warga emas apabila bekalan berkurangan dan kos rawatan meningkat.
Pada masa sama, minyak turut digunakan dalam penghasilan baja sintetik. Kekurangan baja serta peningkatan kos pengurusan tanaman akibat kenaikan harga minyak boleh menjejaskan pengeluaran makanan.
Apabila bekalan makanan berkurangan, harga turut meningkat dan keadaan ini berpotensi mencetuskan masalah malnutrisi, terutama dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah dan sederhana.
Situasi berkenaan pernah dilihat ketika pandemik Covid-19 antara 2019 hingga 2021, termasuk kesannya terhadap kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah.
Pertambahan pelarian akibat konflik turut menjadi cabaran besar kesihatan awam. Pertambahan penduduk tanpa kemudahan asas yang mencukupi boleh menyebabkan kesesakan, kekurangan air bersih serta kemudahan sanitasi.
Keadaan sedemikian meningkatkan risiko penyakit berjangkit dan masalah pernafasan, selain masalah malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak, warga emas serta wanita mengandung.
Kesan kesihatan awam ini juga berpotensi merebak ke negara-negara yang menjadi tuan rumah pelarian. Malaysia yang terletak agak jauh dari Iran mungkin tidak merasai kesan migrasi secara langsung. Namun, kesan kemanusiaan itu boleh menjadi lebih besar sekiranya konflik berlanjutan dan laluan perdagangan serantau lain seperti Selat Melaka turut terjejas.
Dalam menghadapi ketidaktentuan ini, rakyat perlu memberikan perhatian lebih serius terhadap penjagaan kesihatan diri. Amalan pemakanan sihat, mengekalkan berat badan dalam julat Indeks Jisim Badan (BMI) normal serta kekal aktif mengikut usia dan kemampuan fizikal wajar dijadikan rutin.
Pengambilan makanan asli dan segar juga perlu diutamakan berbanding makanan segera atau makanan yang telah diproses.
Pada masa sama, rakyat perlu mengurangkan faktor risiko sosial seperti merokok, penggunaan vape serta penyalahgunaan alkohol dan dadah.
Kerajaan pula perlu memastikan bekalan ubat-ubatan dan peralatan perubatan sentiasa mencukupi sekiranya berlaku gangguan akibat konflik. Golongan berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak berusia bawah lima tahun, perokok dan wanita mengandung perlu diberikan perhatian khusus.
Usaha meningkatkan pengeluaran ubat-ubatan serta peralatan perubatan dalam negara juga penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada bekalan luar dan membantu memastikan kos kekal terkawal.
Bagi rakyat yang mempunyai pendapatan boleh guna mencukupi, perlindungan insurans kesihatan peribadi boleh dipertimbangkan supaya akses kepada rawatan di fasiliti swasta atau kerajaan lebih terjamin.
Sekiranya berlaku gangguan bekalan sehingga rakyat perlu mendapatkan ubat atau peralatan perubatan dari farmasi dengan kos sendiri, persediaan kewangan juga perlu dibuat.
Akhirnya, pencegahan sentiasa lebih baik daripada rawatan. Dalam keadaan dunia yang tidak menentu, menjaga kesihatan sebaik mungkin adalah langkah paling asas untuk mengurangkan risiko komplikasi dan melindungi diri serta keluarga. –UTUSAN
PROFESOR DR. SHARIFA EZAT WAN PUTEH
Pakar Perubatan Kesihatan Awam











