PETALING JAYA: Semua pasukan yang bertanding dalam Piala Malaysia musim ini perlu memastikan mereka tidak terlibat dengan kes jangkitan Covid-19 atau bakal berdepan risiko mungkin terpaksa melupakan kejohanan.
Ia kerana peraturan baharu ditetapkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menyatakan sekiranya terdapat kes positif Covid-19 dalam mana-mana pasukan dan jika keseluruhan individu dalam pasukan itu diarah kuarantin, kemenangan percuma akan diberikan kepada pasukan lawan.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam menjelaskan peraturan baharu itu sudah dimaklumkan kepada semua pasukan bertanding dan tiada sebarang bantahan diterima pihaknya.
Tambahnya, peraturan itu terpaksa diperkenalkan susulan tempoh masa singkat untuk menghabiskan saingan Piala Malaysia musim ini selain terdapat kontrak pemain yang akan berakhir pada 30 November ini.
“Selepas perlawanan kedua Piala Malaysia, ada rehat (jendela FIFA) yang panjang untuk beri laluan kepada skuad kebangsaan. Bukan salah pasukan kebangsaan atau sesiapa.
“Selain itu, pemain kebangsaan juga perlu kuarantin selama 14 hari selepas kembali dari tugasan luar negara.
“Dalam tempoh kalender yang sangat singkat dan untuk menghormati pembabitan pasukan lain serta obligasi bagi menghabiskan pertandingan buat penaja, kita perlu laksanakan (peraturan baharu).
“Bagi MFL, kita tahu Covid-19 adalah perkara yang ingin dielakkan, sebab itu kelonggaran sudah diberikan pada awal. Namun, disebabkan kekangan masa dan kalendar pertandingan, kita terpaksa melaksanakan peraturan ini,” katanya.
Saingan Piala Malaysia yang memasuki edisi ke-100 akan bermula Sabtu depan sebelum berehat hampir sebulan bagi memberi laluan kepada jendela FIFA yang menyaksikan pasukan kebangsaan akan mengharungi dua perlawanan persahabatan, dijadualkan pada 4 dan 12 Oktober.
Dalam pada itu, Stuart menjelaskan perlawanan bagi pasukan yang terdapat kes Covid-19 boleh diteruskan sekiranya kerajaan membenarkan hanya individu yang positif virus itu sahaja perlu kuarantin.
“Saya fikir pasukan pun faham sebab kalendar singkat dan kontrak pemain pun sudah nak tamat. Jika pertandingan ditangguhkan atau dilanjutkan, kita akan berdepan masalah undang-undang berkaitan kontrak pemain yang turut akan membabitkan pasukan lain.
“Kita pun kena tengok kepada pembabitan pasukan lain, kerana satu pasukan (yang berdepan kes Covid-19), kita tak boleh tangguhkan keseluruhan pertandingan Piala Malaysia,” katanya.