fbpx

Bujang Senang ‘ngap’ Harimau Kumbang

PEMAIN Sarawak United (baju merah) bersaing dengan pemain Penang FC dalam keadaan hujan di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang malam ini. - IHSAN MFL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Sarawak United melakar kejutan terbesar pada hari pertama Piala Malaysia 2021 apabila menumpaskan Penang FC 3-1 dalam perlawanan di tempat lawan, sebentar tadi.

Beraksi dari saingan Liga Perdana, Sarawak tidak diberi banyak harapan untuk melepasi Kumpulan A, apatah lagi Penang FC turun dengan reputasi selaku pemenang tempat ketiga Liga Super.

Bagaimanapun, Sarawak menguasai perlawanan yang berlangsung di atas padang becak dan anak-anak buah E. Elavarasan itu berjaya mendahului menerusi jaringan cantik Uche Agba pada minit ke-47.

Naib juara Liga Perdana itu terus mengejutkan skuad Harimau Kumbang apabila menambah gol kedua pada minit ke-54, kali ini menerusi Khair Jones yang menyempurnakan umpanan Sandro Da Silva.

Tuan rumah berjaya merapatkan jurang 2-1 menerusi Al Hafiz Harun pada minit ke-56, namun Sarawak tidak menunggu lama untuk kembali menjarakkan kedudukan apabila Agba meledak gol peribadi keduanya, dua minit berselang.

PENYERANG KL City, Safee Sali cuba melepasi halangan pemain Sri Pahang dalam aksi Piala Malaysia di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam ini. – IHSAN SRI PAHANG FC

Dalam satu lagi saingan Kumpulan A, hasrat juara empat kali, Sri Pahang untuk membawa pulang tiga mata dari Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras berakhir dengan kekalahan 1-3 kepada Kuala Lumpur (KL City).

Skuad bimbingan Bojak Hodak tampil dengan aksi jauh lebih meyakinkan berbanding anak-anak buah Dollah Salleh apabila menguasai sebahagian besar permainan.

Romel Morales yang mengetuai serangan cemerlang apabila meledak dua gol buat The City Boys pada minit ke-47 dan 73, manakala satu lagi jaringan tuan rumah disempurnakan oleh Daniel Ting yang menanduk bola hasil sepakan sudut pada minit 19.

Tok Gajah berjaya merapatkan jurang 3-1 ketika permainan berbaki 11 minit menerusi jaringan sendiri pemain KL City, Giancarlo Gallifuorco.

POPULAR

KOSMO! TERKINI