PETALING JAYA: Tunku Ismail Sultan Ibrahim meminta Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu agar tidak ‘menukar cerita’ dalam isu peruntukan RM10 juta untuk baik pulih padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) itu menegaskan, beliau tidak pernah tersalah tafsir mengenai isu berkenaan.
Sebaliknya Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu menegaskan, Faizal Azumu sendiri menyatakan kos RM10 juta itu adalah jumlah untuk kegunaan di SNBJ di mana ia turut didengari saksi lain.
“Saya ada ramai saksi malam itu beliau cakap 10 juta, apabila saya tanya berapa bajet buat padang SNBJ. Jadi, jangan tukar cerita,” katanya.
Tunku Ismail berkata demikian menerusi komen dalam akaun Instagram Malayantigerfans, yang memuat naik penjelasan Ahmad Faizal di status mereka.
Sebelum ini, Tunku Ismail mempersoalkan kos RM10 juta yang diperlukan untuk membuat padang baharu di SNBJ.
Katanya, kos itu terlalu tinggi kerana beliau hanya memerlukan RM1.4 juta untuk membuat padang menggunakan rumput jenis Zoysia di Stadium Sultan Ibrahim yang lengkap dengan sistem perpaipan, perparitan, tanah dan pelbagai lagi.
Begitupun kelmarin, Ahmad Faizal menafikan kos membuat padang baharu di SNBJ membabitkan belanja RM10 juta, sebaliknya menjelaskan ia turut merangkumi kos membaikpulih padang di seluruh negara.
Menurut Faizal Azumu, kos itu sebenarnya akan digunakan bagi kebanyakan padang stadium yang memerlukan baik pulih atau penambahbaikan di seluruh Malaysia.
“Benar saya ada mengadakan perjumpaan dan berbicara tentang beberapa perkara dengan Tunku Mahkota Johor termasuk mengenai untuk memperbaiki padang-padang bola sepak di seluruh negara bukan saja di Bukit Jalil.
“Saya kira ada kemungkinan sembah saya mungkin tidak begitu tepat tetapi perkara yang dibincangkan adalah untuk padang-padang di seluruh negara, bukan hanya satu padang di Stadium Nasional.
“Perkara itu sering diingatkan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim kepada saya, malah selepas perbincangan itu sering diperingatkan kepada saya untuk memberi fokus kepada menaiktaraf padang bola sepak di stadium seluruh Malaysia,” katanya.