LONDON: Empat pemain Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang, Alexandre Lacazette, Willian dan Alex Runarsson disahkan positif Covid-19.
Kehilangan semua pemain tersebut ketika Gunners tewas 2-0 kepada Brentford dalam aksi sulung Liga Perdana Inggeris minggu lalu mencetus tanda tanya, dan pengesahan Arsenal semalam menjawab segala persoalan.
Daripada empat pemain itu, Lacazette dan Runarsson akan diketepikan untuk aksi menentang Chelsea esok, manakala Aubameyang dijangka kembali berlatih dan penilaian lanjut akan dilakukan sebelum perlawanan.
“Kesihatan Willian dan kecergasannya akan dipantau dan dinilai menjelang perlawanan menentang Chelsea,” kata kelab.
Lacazette dan Runarsson masih belum pulih tetapi Willian sedang dipertimbangkan untuk pertembungan dengan bekas kelabnya.
Kelab-kelab Liga Perdana Inggeris menjalani ujian dua kali seminggu tetapi selepas timbul kebimbangan terhadap status Arsenal sebelum kunjungan ke Brentford, mereka diarah melakukan ujian sekali lagi pada hari perlawanan.
Gunners juga akan turun tanpa Thomas Partey yang mengalami kecederaan buku lali, Gabriel (lutut) dan Eddie Nketiah (buku lali).
Bagaimanapun, mereka berharap dapat menurunkan dua pemain baharu, Martin Odegaard dan Aaron Ramsdale yang menjalani ujian hari ini sebelum mengesahkan perpindahan dari Real Madrid dan Sheffield United secara rasmi.
Begitupun wujud keraguan terhadap Odegaard kerana dia memerlukan visa dan tidak pasti apakah ia sempat dikeluarkan tepat pada masanya. – AGENSI










