PETALING JAYA: Kuching City FC melunaskan dendam atas kekalahan 0-1 kepada Kelantan FC, April lalu apabila menumpaskan The Red Warriors (TRW) 3-1 dalam aksi tertunda Liga Perdana di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang hari ini.
Beraksi baik di awal permainan, TRW yang dibimbing penolong jurulatih, Reezal Zambery Yahya bagaimanapun gagal mempertahankan gawang mereka daripada dibolosi pada minit ke-13.
Alif Hassan membuat sepakan lambung yang memerangkap penjaga gol lawan, Farizal Harun untuk membolehkan Kuching City mendahului 1-0.
Bek tengah Greece, Christos Intzidis kembali menghidupkan harapan Kelantan FC apabila menyamakan kedudukan pada minit ke-31 selepas menyudahkan sepakan percuma ketua pasukan, Mario Blasco.
Bagaimanapun kegembiraan pasukan pelawat tidak bertahan lama apabila Kuching FC kembali di depan dua minit kemudian selepas Farizal gagal menangkap kemas percubaan Irwan Syazmin Wahab yang kemudian disudahkan Michaeil Ijizie.
Bersambung babak kedua, Kuching City menambah derita Kelantan menerusi jaringan pemain gantian, Joseph Kallang Tie yang menewaskan penjaga gol gantian, Faridzuean Kamaruddin pada minit ke-57.