Red Warriors buru 3 mata di Pasir Gudang - Utusan Malaysia

Red Warriors buru 3 mata di Pasir Gudang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU : Kelantan FC tekad memperagakan mentaliti menang berdepan Kuching City FC dalam aksi Liga Perdana di Stadium Pasir Gudang, Johor hari ini.

Penolong jurulatih The Red Warriors (TRW), Rezal Zambery Yahya berkata, pasukannya tidak boleh terus keciciran mata dalam usaha memburu kedudukan terbaik dalam  Liga Perdana yang berbaki empat perlawanan.

Menurutnya, barisan pemain dituntut memperaga aksi terbaik bagi memastikan tiga mata menjadi milik mereka pada perlawanan itu nanti.

“Saya akui peluang antara kita (TRW) dengan lawan (Kuching City) sama rata, namun kami akan berjuang habis-habisan untuk mendapatkan tiga mata pada perlawanan itu nanti.

“Jadi saya harap momentum kemenangan seperti dilakar pada aksi menentang Kelantan United FC dapat diteruskan menentang Kuching City nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Rezal Zambery memberitahu, pada aksi itu nanti TRW akan membuat sedikit rombakan susulan beberapa pemain mengalami kecederaan.

Katanya, sungguhpun begitu dia sudah menyediakan ramuan terbaik bagi memastikan kemenangan menjadi milik Kelantan FC.

Selepas mengharungi 16 perlawanan, Kelantan FC menduduki tangga ketujuh dalam carta liga selepas mengumpul 21 mata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN