Pertarungan ‘sambung nyawa’ - Utusan Malaysia

Pertarungan ‘sambung nyawa’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Mikel Arteta berisiko dipecat sebagai pengurus Arsenal menjelang pertemuan menentang musuh sebandar, Chelsea dalam saingan Liga Perdana Inggeris hari ini.

Dua perlawanan mampu menjadi ‘talian hayat’ buat pe­ngendali dari Sepanyol itu, menewaskan Chelsea, selain juara bertahan, Manchester City, ­Sabtu depan.

Gunners yang menamatkan kempen musim lalu di tangga kelapan tumpas 0-2 kepada pendatang baharu Liga Perdana, Brentford dalam aksi pembukaan, Sabtu lalu.

Satu lagi kekalahan akan mengundang padah, namun tugas untuk mengalahkan Blues tidak mudah selepas empat tonggak – Pierre-Emerick Aubameyang, Alexandre Lacazette, Willian dan Alex Runarsson menjadi mangsa jangkitan Covid-19 baru-baru ini.

Chelsea yang memulakan kempen dengan membenam Crystal Palace 3-0 bersemangat untuk memburu tiga lagi mata di Emirates, malah kali ini mereka bersedia menurunkan ‘senjata baharu’, Romelu Lukaku.

Arsenal juga mempunyai senjata baharu, Martin Odegaard, 22, namun bintang tengah Norway yang baru dibeli daripada Real Madrid itu mungkin tidak sempat diturunkan hari ini.

GUNNERS ROMBAK JENTERA SERANGAN

MIKEL Arteta memberi ba­yangan akan melakukan perubahan drastik di jentera serangan selepas barisan muda mereka gagal mempamer aksi diharapkan ketika tewas kepada Brentford 2-0 minggu lalu.

Lacazette belum turun berlatih selepas positif Covid-19, namun Aubameyang sudah pulih memulakan latihan kelmarin.

Pada pertemuan menentang Brentford, Arteta meletakkan Folarin Balogun, 20, mengetuai serangan dan Gabriel Martinelli, 20, di sayap kiri.

Jika Aubameyang, 32, cergas untuk beraksi, pemain antarabangsa Gabon itu hampir pasti akan mengetuai serangan.

Bukayo Saka, 19, yang bermula dari bangku simpanan minggu lalu kembali dalam kesebelasan utama di sayap kiri.

Emile Smith Rowe bakal mengisi posisi bahagian tengah dan Nicolas Pepe sayap kanan.

“Sama ada Aubameyang dapat diturunkan, saya tidak boleh memberi jawapan hari ini.

“Kita perlu tengok keadaannya beberapa jam sebelum perlawanan,” kata Arteta.

TUCHEL HARAP LUKAKU JADI PELENGKAP BLUES

THOMAS Tuchel bersedia menurunkan Lukaku untuk membuat penampilan kedua­nya bersama Chelsea bagi menentang Arsenal, sambil menyifatkan penyerang tersebut sebagai pelengkap pasukan.

Begitupun seperti Gunners, Blues juga menjadi mangsa ­Co­vid-19 selepas bintang Amerika Syarikat, Christian Pulisic terlepas perlawanan kerana dijangkiti virus berkenaan.

Ketiadaan Pulisic bagaimanapun tidaklah terlalu menjejaskan Chelsea yang bersedia menurunkan Hakim Ziyech dan N’Golo Kante dalam kesebelasan utama selepas kedua-dua pemain tersebut

terlepas aksi menentang Palace.

“Kami berharap Romelu cergas untuk perlawanan itu. Dia ibarat salah satu ‘puzzle’ yang hilang.

“Romelu mampu menghasilkan gol dari pelbagai sudut. Kita akan lihat sejauh mana impak dia bersama kelab ini.

“Dalam masa sama, kami juga sudah mengesan dan cuba memperbaiki kelemahan yang ditunjukkan dalam perlawanan sebelum ini,” kata Tuchel.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN