IPOH: Pintu Liga Perdana 2022 semakin mengamit Perak apabila tumpas 0-3 kepada Selangor di Stadium Perak, sebentar tadi.
Kekalahan kelima berturut-turut itu menyaksikan pasukan Bos Gaurus kekal di tangga kedua tercorot dengan 13 mata.
Turun dengan misi mengutip mata penuh, anak buah Mohd. Shahril Nizam Khalil mempamer semangat juang kental untuk menyaingi pelawat selama 41 minit.
Dalam tempoh itu tuan rumah mencipta peluang gol tetapi Muhammad Adib Abdul Ra’op gagal menyudahkan peluang pada minit ke-31.
Lima minit kemudian, Mohd. Nor Hakim terlepas peluang buat gergasi merah.
Namun Oliver Buff meletak pelawat di hadapan apabila rembatan leretnya menewaskan Muhammad Azri Ghani pada minit ke-42.
Tiga minit kemudian Ifedayo Olusegun menanduk masuk gol kedua pelawat sejurus eebelum rehat.
Perak cuba bangkit pada babak kedua tetapi segala usaha mereka tidak berjaya.
Sebaliknya Selangor membunuh semangat tuan rumah apabila Ifedayo menyempurnakan penalti di minit ke-59 untuk melengkapkan kemenangan Selangor FC. – UTUSAN