Pemain Kedah tidak sabar jalani latihan - Utusan Malaysia

Pemain Kedah tidak sabar jalani latihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Barisan pemain dan jurulatih pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) sudah tidak sabar untuk menjalani latihan pada Rabu ini selepas tempoh kaurantin selama 14 hari ke atas mereka berakhir esok.

Ketua jurulatihnya, Aidil Sharin Sahak berkata, banyak perkara perlu dilakukan terutamanya bagi memastikan kecergasan para pemain tidak terlalu terjejas berikutan agak lama berehat di sepanjang tempoh kuarantin.

Katanya, perkara pertama yang akan dilakukan sebaik turun ke padang nanti adalah untuk melakukan ujian kecergasan kepada semua pemain.

“Ini penting kerana kita tak mahu ada dalam kalangan pemain yang tercedera kerana tidak cukup cergas untuk menghadapi perlawanan pertama selepas tempoh kuarantin.

“Kita mahu mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan pertama ini bagi membentuk momentum untuk menghadapi perlawanan-perlawanan seterusnya. Jadi kita perlu bersedia dari segala sudut terutamanya dalam aspek kecergasan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sejak 21 Julai lalu, seluruh anggota pasukan termasuk pemain dan jurulatih terpaksa menjalani kuarantin setelah dua pemain KDA FC didapati positif Covid-19.

Berikutan itu beberapa perlawanan membabitkan KDA FC terpaksa ditangguhkan dengan pasukan itu kini cuma beraksi dalam 13 perlawanan secara keseluruhan ketika pasukan lain sudah pun melalui 16 perlawanan.

Perlawanan pertama yang akan dihadapi KDA FC selepas ini adalah menentang Terengganu FC di gelanggang lawan pada 14 Ogos depan.

Mengulas kedudukan KDA FC yang masih kekal berada di tangga ketiga Liga Super biar pun kurang tiga perlawanan berbanding pasukan lain, Aidil berkata situasi itu ada baik dan buruknya.

“Memang baik apabila kita terus berada di kedudukan ketiga walaupun tidak beraksi dalam tiga perlawanan yang terpaksa ditangguhkan sebelum ini. Namun kita juga perlu pastikan situasi ini tidak mengganggu konsentrasi pasukan.

“Saya tak mahu ada dalam kalangan pemain merasa terlalu selesa lalu mengambil mudah perlawanan yang akan kita hadapi nanti. Paling penting kita dapatkan tiga mata dulu dalam perlawanan pertama nanti,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya