LONDON: Musim baharu Liga Perdana Inggeris baru berlangsung dua perlawanan, namun ‘hayat’ Mikel Arteta semakin di penghujung ekoran kekalahan 0-2 Arsenal kepada Chelsea semalam.
Daripada penyokong, pengulas hingga legenda kelab mendesak pengurus kelahiran Sepanyol itu disingkirkan ekoran dua kekalahan berturut-turut.
Paling tidak boleh diterima kekalahan 0-2 kepada pendatang baharu liga, Brentford minggu lalu, malah hujung minggu ini Gunners berdepan satu lagi ujian getir bertemu juara bertahan, Manchester City.
Arsenal sudah membelanjakan 132 juta pound (RM762 juta) pada jendela perpindahan dengan membawa masuk Aaron Ramsdale, Ben White, Martin Odegaard dan Albert Sambi Lokonga.
Odegaard, 22, yang dibeli pada harga 30 juta pound (RM173.29 juta) belum beraksi, namun kontroversi sudah menyelubungi pemain itu yang dikatakan menyertai Arsenal kerana ‘terpaksa’.
“Arteta membuat kesilapan dengan menandatangani Martin Odegaard dan dia dalam bahaya.
“Jika Odegaard benar-benar mahu bermain dengan Arsenal, dia patut menamatkan tempoh pinjaman. Jelas dia pemain yang tidak dikehendaki Real Madrid, dan Arsenal mengambilnya.
“Arsenal sudah kalah kepada Brentford dan Chelsea. Manchester City akan menunggu, satu lagi kekalahan mereka berada di dasar liga,” kata bekas pemain tengah Gunners, Paul Merson.
Dalam aksi di Emirates, Romelu Lukaku ‘membuli’ Arsenal dengan berleluasa, malah meledak gol pertama Chelsea.
“Kami beruntung kerana mendapat penyerang yang ‘vokal’ dalam pasukan ini.
“Semua nampak kekuatan Romelu. Dia menjaringkan gol bila ada peluang. Saya fikir dia ‘membuli’ pemain lawan hari ini,” kata Reece James yang meledak gol kedua pasukannya. – AGENSI