MANCHESTER: Jack Grealish membuka akaun jaringan bersama Manchester City ketika membantu juara bertahan itu membenam Norwich City 5-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris hari ini.
Selepas dikejutkan 1-0 oleh Tottenham dalam aksi pembukaan minggu lalu, skuad The Citizens ibarat singa lapar’ apabila menyerang kubu lawan bertali arus di depan ribuan penyokong di Stadium Etihad.
Kesilapan penjaga gol Norwich, Tim Krul memulakan pesta gol City seawal minit ketujuh.
Grealish yang dibeli menerusi rekod perpindahan Britain menggandakan kedudukan 2-0 pada minit ke-22.

Aymeric Laport, Raheem Sterling dan Riyad Mahrez menambah derita Norwich apabila meledak tiga lagi gol buat tuan rumah pada separuh masa kedua.
Ferran Torres juga berpeluang mencetak nama sebagai penjaring, namun jaringannya dibatalkan selepas video bantuan pengadil (VAR) mendapati Bernardo Silva melakukan kekasaran terhadap Rashica sebelum gol terhasil.
Pada ketika kemenangan mengembalikan keyakinan City untuk mempertahankan kejuaraan liga, Norwich sebaliknya disambut dengan dua kekalahan besar sebaik saja kembali dalam kancah Liga Perdana.
Minggu lalu, mereka memulakan kempen dengam dibenam oleh Liverpool dalam aksi di tempat sendiri.