Mana ada duit nak beli Falcao - Utusan Malaysia

Mana ada duit nak beli Falcao

RADAMEL FALCAO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menafikan desas desus pasukan itu berminat untuk menandatangani bekas penyerang Colombia, Radamel Falcao.

Pengarah Sukan JDT, Martin Prest dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi JDT berkata, perkara itu hanyalah khabar angin semata-mata.

“JDT ingin menjelaskan bahawa kami tidak membuat tawaran kepada Radamel Falcao seperti mana yang dilaporkan oleh media. Berita tersebut adalah khabar angin semata-mata.

“JDT tidak berada pada kedudukan kewangan yang kukuh untuk menandatangani pemain ‘marquee’ antarabangsa disebabkan pandemik Covid-19,” katanya.

Tambah beliau, JDT mungkin akan berupaya membawa masuk pemain antarabangsa dengan status sedemikian dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

“Kami percaya bahawa kedudukan kewangan kelab akan berada pada tahap lebih baik dalam masa satu hingga dua tahun untuk mendapatkan pemain-pemain sedemikian.

“Kami perlu lebih berhemah dalam perbelanjaan ketika ini dan memberikan keutamaan kepada infrastruktur yang boleh membawa kebaikan kepada pembangunan,” ujarnya lanjut.

Sejak beberapa hari lalu, kecoh di media sosial khabar angin JDT mahu membawa masuk pemain tersebut untuk beraksi di Liga Malaysia.

Perkara itu hangat diperkatakan selepas portal sukan Turki, Fotomac dalam Twitter mereka pada 5 Ogos lalu mendedahkan sebuah kelab popular Malaysia telah membuat permohonan untuk mendapatkan Falcao.

Falcao, 35, yang kini beraksi bersama kelab Turki, Galatasaray pernah menyarung jersi gergasi Eropah seperti Manchester United, Chelsea, Porto dan Atletico Madrid.

Khabar angin itu turut menyebabkan ada pihak menyunting maklumat peribadi Falcao dalam Wikipedia dengan menulis dia pernah menyarung jersi JDT dari 2013 hingga 2014 dan menjaringkan 107 gol daripada 65 penampilan. Maklumat itu bagaimanapun sudah dipadam beberapa hari lalu.

“Kelab paling popular di Malaysia, Johor meminta Radamel Falcao daripada Galatasaray.

“Difahamkan, Presiden kelab, Putera Tunku Ismail (Sultan Ibrahim) secara peribadi mahu membuat pertukaran dan ingin melakukan perpindahan terbesar dalam liga bola sepak Malaysia,” tulis Twitter Fotomac.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN