LIVERPOOL: Liverpool meraikan kepulangan penyokong di Anfield dengan mengekalkan rekod sempurna pada musim baharu Liga Perdana Inggeris apabila menumpaskan Burnley 2-0 sebentar tadi.
Tandukan Diogo Jota meletakkan Reds di depan pada minit ke-18, malah tuan rumah berpeluang menggandakan kedudukan 2-0, namun jaringan Mohamed Salah dibatalkan kerana ofsaid.
Memasuki babak kedua, Liverpool mengawal permainan dan memperoleh banyak peluang, tetapi dinafikan oleh kecekapan penjaga gol Burnley, Nick Pope.
Sadio Mane akhirnya memastikan kemenangan selesa anak-anak buah Jurgen Klopp selepas menyempurnakan hantaran Trent Alexander-Arnold pada minit ke-69.
Beraksi di depan penonton yang penuh buat kali pertama sejak Mac 2020, Liverpool berjaya melunaskan dendam terhadap Burnley, pasukan yang menamatkan rekod 68 perlawanan tanpa kalah mereka di Anfield dalam lawatan terakhir mereka pada Januari lalu.
Ini kemenangan kedua berturut-turut dilakar Reds pada musim baharu 2021/2022 selepas menumpaskan Norwich City dalam perlawanan pembukaan minggu lalu.