NORWICH: Mohamed Salah muncul wira Liverpool apabila meledak satu gol dan mencipta dua gerakan jaringan untuk membantu Reds memulakan kempen musim baharu Liga Perdana Inggeris dengan kemenangan 3-0 ke atas Norwich City sebentar tadi.
Jurgen Klopp memulakan musim dengan melakukan perubahan di bahagian tengah apabila merehatkan Fabinho dan meletakkan James Milner, Alex Oxlade-Chamberlain serta Naby Keita dalam kesebelasan utama.
Beraksi di depan ‘lautan kuning’ penyokong Norwich, selain sekumpulan kecil penonton Reds yang bertandang ke Carrow Road, Liverpool menguasai permainan dengan hantaran-hantaran cantik.
Norwich yang membuat kemunculan semula dalam Liga Perdana selepas semusim hilang dari radar sesekali mengatur gerakan, namun tiada percubaan yang benar-benar mengancam benteng ampuh Liverpool.

Kepulangan semula Virgil van Dijk sejak Oktober tahun lalu mengukuhkan pertahanan Reds dan memberi harapan kepada Liverpool untuk mencabar kejuaraan liga bersama Manchester City, Manchester United serta Chelsea.
Turun sebagai pilihan untuk mengalahkan skuad Canaries, Liverpool memenuhi reputasi mereka sejak awal permainan selepas Diogo Jota membuka jaringan pada minit ke-26 yang bermula dari gerakan Salah.
Kemasukan Roberto Firmino menggantikan Jota pada babak kedua turut merancakkan lagi serangan Reds selepas bintang Brazil itu menyempurnakan hantaran Salah untuk gol kedua Liverpool pada minit ke-64.

Pada minit ke-74, Salah melakukan rembatan cantik menewaskan penjaga gol berpengalaman Norwich, Tim Krul yang berpunca daripada sepakan penjuru untuk melengkapkan kemenangan 3-0 Liverpool.
Melepasi halangan pertama meningkatkan semangat Liverpool sebelum menerima kunjungan Burnley dalam aksi kedua di Anfield, Sabtu depan, diikuti pertemuan menentang Chelsea di Stamford Bridge pada 29 Ogos.
Norwich pula berdepan tugas getir apabila bertandang ke Etihad untuk menentang juara bertahan, Manchester City, Sabtu depan. – AGENSI