JDT sedia ‘berkubang’ demi buru tiga mata - Utusan Malaysia

JDT sedia ‘berkubang’ demi buru tiga mata

PEMAIN JDT menjalani latihan akhir di Johor kelmarin menjelang pertemuan menentang Petaling Jaya City di Stadium Petaling Jaya malam ini. – Ihsan JOHOR SOUTHERN TIGERS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta’zim (JDT) sedia ‘berkubang’ di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam ini demi mengutip tiga mata ke atas Petaling Jaya (PJ) City.

Skuad Harimau Selatan bakal dinobat lebih awal sebagai juara Liga Super kelapan berturut-turut jika memenangi dua perlawanan terdekat.

Ketika ini, hanya Terengganu dan Kedah yang akan berentap sesama sendiri di Gong Badak mampu menjadi pencabar utama anak-anak buah Benjamin Mora.

Bagaimanapun menerajui liga dengan lapan mata me­ngatasi Terengganu meletakkan JDT sukar digugat ketika kempen berbaki empat perlawanan.

Kemenangan ke atas PJ City bermakna Harimau Selatan akan mengumpul 48 mata, dan jika Terengganu kalah mereka sudah boleh melupakan kejua­raan.

Begitupun, Kedah yang memiliki tiga perlawanan secara matematiknya masih mampu memberi cabaran.

Mora berkata, pasukannya tidak perlu memikirkan tentang pesaing mereka, sebalik­nya fokus memburu tiga mata malam ini biarpun padang MBPJ tidak segah infrastruktur JDT.

“Kalau nak bercerita mengenai kemudahan stadium, tidak ada satu pun padang di Malaysia setanding fasiliti bertaraf dunia yang disediakan JDT.

“Jika ada pun, hanya padang Terengganu yang menepati citarasa kami.

“Keadaan padang di tempat lawan juga boleh menjadi ke­lebihan buat mereka untuk berdepan kami. Ini bukanlah isu besar kerana ia sudah menjadi resam dalam dunia bola sepak.

“Kami perlu memberi tumpuan terhadap apa yang kami mampu persembahkan di atas padang bukan keadaan persekitaran dan menukar strategi mengikut kesesuaian bagi memburu tiga mata,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN