JDT luaskan kuasa ke kejohanan e-sukan - Utusan Malaysia

JDT luaskan kuasa ke kejohanan e-sukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) melakukan penampilan dalam sukan elektronik pada pertandingan pertama Champions eFootball yang akan menyaksikan beberapa kelab terbaik Asia Tenggara bertanding dalam permainan PES 2021.

JDT memaklumkan perkara itu dalam satu kenyataan yang dikongsikan di laman Facebook mereka semalam.

Menurut kenyataan tersebut, pertandingan itu akan berlangsung bermula dari 9 September hingga 7 Oktober.

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, pihaknya teruja untuk menyertai sukan elektronik (e-sukan) yang akan membawa nama dan imej kelab berkenaan.

“Skuad Harimau Selatan akan diwakili pemain bola sepak profesional JDT, Mohamadou Sumareh dan eFootballer, Mohamad Nor Haikal Noh, yang merupakan peserta separuh akhir Sukan Asia 2018 dan antara dua wakil Malaysia terbaik untuk PES 2020.

“Didorong oleh minat kami terhadap bola sepak, kami teruja untuk menjejakkan kaki ke dunia esports sambil memaparkan lambang dan warna kelab kesayangan kami, JDT FC,” katanya.

Tunku Mahkota Johor turut menambah, pertandingan itu akan memberi peluang kepada JDT mempamerkan bakat muda dimiliki mereka selain menarik penonton baharu.

“Champions eFootball akan memberi kita peluang untuk mempamerkan bakat muda yang mewakili kelab sambil menarik penonton baharu dalam e-sukan.

“Kami juga bersemangat untuk bersaing dengan kelab-kelab lain di rantau ini dan menantikan perlawanan antarabangsa pada masa hadapan,” katanya.

Pasukan lain yang turut bertanding dalam Champions eFootball termasuklah Buriram United FC dan Chonburi FC dari Thailand; Persib Bandung FC dari Indonesia; Tampines Rovers FC dari Singapura; United City FC dari Filipina; Nagaworld FC dari Kemboja dan Ho Chi Minh City FC dari Vietnam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya