PETALING JAYA: Tidak mahu menjanjikan bulan dan bintang tetapi Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan meletakkan sasaran atau misi iaitu mahu memastikan perjalanan Liga Malaysia (Liga M) musim ini tidak berhadapan sebarang masalah seterusnya dapat diselesaikan seperti dirancang.
Walaupun ia nampak mudah dilaksanakan namun hakikatnya situasi terbabit cukup mencabar terutama perlu berdepan penangguhan perlawanan selain jangkitan Covid-19 turut menyerang pemain dan pegawai pasukan hingga merencatkan perjalanan saingan Liga M.
Tambah Ab Ghani, sebaik diumumkan sebagai Presiden MFL, beliau sudah tentu mahu mengangkat martabat badan pengurusan liga itu pada tahap lebih tinggi pada masa akan datang.

“Dalam keadaan pandemik, saya harus pastikan Liga M dapat dijalankan sebaik mungkin dengan pelbagai prosedur operasi standard (SOP) yang diharungi MFL seperti yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Paling penting adalah supaya Liga M dan Piala Malaysia pada musim ini dapat dihabiskan dan untuk musim 2022, kita mahu Piala FA dapat kembali dimainkan seperti sebelum ini.
“Saya juga bertanggungjawab dalam menentukan sumber kewangan iaitu penajaan dapat diperolehi untuk kita jalankan liga musim 2022. Saya akan berusaha keras seperti presiden terdahulu,” katanya pada sidang media secara maya semalam.

Terdahulu, mengumumkan pelantikan Presiden baharu bagi menggantikan Datuk Hamidin Mohd Amin apabila Ahli Lembaga Pengarah MFL bersetuju melantik Ghani untuk memimpin badan pengurusan liga itu.
Menurut Ahli Lembaga Pengarah MFL, Joehari Ayub yang mempengerusikan mesyuarat berkenaan secara dalam talian hari ini, pelantikan Ghani dibuat selepas menerima surat peletakan jawatan daripada Hamidin pada Khamis lalu.