PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menghargai kesudian pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk mengambil alih pengurusan skuad bola sepak kebangsaan.
Bagaimanapun Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin menjelaskan, badan induk bola sepak tanah air itu terpaksa menolak tawaran tersebut dan akan terus mengendalikan skuad Harimau Malaya seperti biasa.
Katanya, FAM dan Tunku Mahkota Johor (TMJ) sudah mencapai kata sepakat berhubung perkara itu selepas mengadakan pertemuan sebelum ini.
Hamidin memahami kebimbangan yang dirasai Tunku Ismail selepas menyaksikan skuad kebangsaan tewas kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Jun lalu.
“Saya telah mengadakan pertemuan dengan TMJ, iaitu mantan Presiden FAM berhubung isu baginda ingin mengambil alih pengurusan pasukan kebangsaan seperti yang dinyatakan sebelum ini.
“Dalam pertemuan tersebut, kami mencapai kata sepakat untuk mengekalkan FAM sebagai pengendali Harimau Malaya. Cukup untuk saya katakan, perkara ini sudah selesai.
“Bagaimanapun, saya faham perasaan baginda ketika itu selepas kita tewas kepada UAE dan Vietnam.
“Baginda juga akan terus berikan sokongan termasuk membekalkan pemain JDT kepada pasukan negara,” katanya pada sidang akhbar secara maya semalam.
Kata Hamidin, pada pertemuan itu, Tunku Ismail juga memberikan beberapa idea termasuk kriteria pemilihan pemain untuk panggilan ke skuad kebangsaan pada masa akan datang.
“Tunku juga menekankan mengenai betapa penting pemilihan pemain termasuk perlu menilai minit permainan selain memantau prestasi setiap pemain dalam semua pasukan Liga Malaysia.
“Mungkin ada beberapa perubahan berhubung pemilihan pemain kebangsaan untuk pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 kerana saya seiring dengan idea-idea yang diberikan oleh Tunku,” ujarnya.