Kecik kecewakan Tok Gajah - Utusan Malaysia

Kecik kecewakan Tok Gajah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Jaringan bekas pemain Pahang,  Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, dua minit sebelum tamat perlawanan memaksa Tok Gajah sekadar berkongsi mata dengan Melaka United selepas terikat 1-1 dalam aksi Liga Super sebentar tadi.

Tandukan Manuel Hidalgo seawal minit pertama belum cukup untuk menghadiahkan tiga mata buat Sri Pahang, malah tuan rumah yang beraksi di Stadium Darul Makmur turut mensia-siakan sepakan penalti.

Sebaik saja wisel permainan ditiup, anak-anak buah Dollah Salleh melancarkan serangan pantas dan hantaran lintang Abdul Malik Mat Ariff di depan pintu gol Melaka berjaya ditanduk Hidalgo ketika penjaga gol lawan, Khairul Fahmi Che Mat belum bersedia sepenuhnya.

Sri Pahang tambah bersemangat untuk menambah gol dan Abdul Malik berpeluang mencipta nama sebagai penjaring pada minit keenam ketika hanya berdepan dengan Khairul Fahmi.

MANUEL Hidalgo (kanan) membuka jaringan seawal minit pertama di Stadium Darul Makmur di Kuantan, Pahang. – UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF

Begitupun, Abdul Malik agak lewat melakukan tindakan penyudah sebelum bola berjaya dikuis keluar pertahanan pelawat untuk menafikan peluang Pahang menambah jaringan.

Melaka juga tidak mudah berputus asa apabila memberi saingan dan peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan hadir empat minit kemudian.

Tandukan penyerang import, Sony Norde hasil hantaran Gomes Da Silva berjaya diselamatkan penjaga gol Pahang, Mohd. Helmi Eliza.

Pahang seharusnya mengucapkan terima kasih kepada pemain pertahanan, Herold Goulon yang banyak menafikan peluang anak buah Zainal Abidin Hassan untuk merapati kawasan kotak penalti tuan rumah.

Pengadil perlawanan, S. Logeswaran sempat menghadiahkan dua kad kuning kepada pemain Melaka dan satu kepada pemain Pahang sebelum menamatkan separuh masa pertama perlawanan.

AKSI perlawanan Liga Super di antara Pahang menentang Melaka United di Kuantan malam ini. – UTUSAN/SHAIKH AHMAD

Dua minit memasuki babak kedua, perlawanan terpaksa dihentikan 10 minit berikutan dua lampu limpah di Stadium Darul Makmur terpadam.

Selepas dimulakan, Pahang mempunyai peluang terbaik untuk menambah jaringan melalui Kenjok Athiu pada minit ke-64 tetapi tendangan pemain import dari Australia itu hanya sedikit tersasar.

Minit ke-69, Pahang dihadiahkan sepakan penalti selepas Abdul Malik dikasari lawan tetapi sepakan Goulon berjaya ditepis keluar Khairul Fahmi atau Apek yang juga bekas penjaga gol kebangsaan.

Penyerang import dari Myanmar, Aung Kuan Mann juga berpeluang membuka akaun jaringan bersama Sri Pahang, namun sepakannya melewati palang gol.

Melaka melancarkan serangan mengejut apabila hantaran Mohd. Faris Shah disudahkan Wan Zaharulnizam atau lebih dikenali dengan julukan Kecik pada minit ke-88 untuk kedudukan 1-1.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya